BAGAIMANAKAH PENGUASAAN KEMAHIRAN BAHASA DAPAT DIADAPTASIKAN DALAM PELBAGAI KONTEKS?
1.1.1) Kemahiran mendengar
Penguasaan kemahiran bahasa dapat diadaptasikan dalam pelbagai konteks melalui bahasa yang digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Hal ini kerana proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan sudah tentu memerlukan bahasa pengantar sebagai bahasa yang digunakan dalam proses pembelajaran. Misalnya, bahasa Melayu berperanan sebagai alat komunikasi bagi sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Menurut A. Aziz Deraman (206:288) kekuatan bahasa juga akan menjamin kelangsungan peradaban. Hal ini kerana alat komunikasi rakyat yang sangat utama di Malaysia terutamanya dalam sistem pendidikan merupakan bahasa Melayu.
Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah bahasa komunikasi lisan dan tulisan yang digunakan bagi semua urusan rasmi dalam bidang pendidikan. Pengajaran semua subjek mata pelajaran dalam bahasa Melayu di semua peringkat sekolah rendah dan menengah kecuali mata pelajaran bahasa Inggeris amat jelas selaras dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu. Pengajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu adalah contoh yang paling jelas bagaimana bahasa Melayu berfungsi sebagai alat komunikasi di antara pelajar dan guru. Hal ini menunjukkan bahawa dengan wujudnya peranan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, sudah pasti kemahiran berbahasa dapat diterapkan dalam kehidupan seharian pelajar mahupun masyarakat.
Misalnya, aktiviti yang boleh dijalankan oleh para guru menjadi lebih mudah apabila bahasa Melayu digunakan di sekolah-sekolah. Sepertimana yang diketahui, kemahiran mendengar juga merupakan salah satu kemahiran yang perlu dikuasai dalam berbahasa. Jadi sebagai seorang pengajar wajarlah kita mengadaptasi kemahiran mendengar ketika mengajar murid-murid perkara baharu. Sebelum itupara guru perlu tahu beberapa peringkat kemahiran mendengar yang perlu diterapkan dalam diri para pelajar.
Kemahiran mendengar merupakan salah satu kemahiran yang penting dan perlu dikuasai oleh pelajar bersesuaian dengan Objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah yang pertama iaitu setelah akhir pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu murid dapat mendengar pengucapan dengan teliti dan memahami serta menghayati pengucapan dalam konteks perbualan harian dan formal. Terdapat beberapa aktiviti atau latihan yang boleh para guru lakukan terhadap murid-murid bagi mengadaptasikan kemahiran mendengar yang juga merupakan salah satu kemahiran yang diperlukan dalam kemahiran berbahasa. Hal ini kerana aktiviti merupakan salah satu perkara yang penting untuk memastikan murid-murid dapat menguasai kemahiran-kemahiran bahasa dengan baik. Antara aktiviti untuk menguatkan kemahiran mendengar iaitu mendengar dan menyebut perkataan. Pelajar mendengar guru menyebut perkataan. Seterusnya pelajar dikehendaki mengulangi perkataan yang disebut oleh guru berulang kali. Misalnya jika guru menyebut perkataan ladang, padang, lantai, pantai, lali, lori, galah, atau kalah, pelajar juga perlu mengulang dan menyebut perkataan yang sama dengan guru. Hanya pelajar yang menguasai kemahiran mendengar dengan baik sahaja dapat mengulangi perkataan yang disebut oleh para guru. Aktiviti latih tubi pemintal lidah juga boleh disediakan oleh guru sebagai aktiviti kelas kepada murid-murid.
Para guru boleh menguji para murid untuk menyebut perkataan yang hampir sama sebutannya berulang-ulang kali bagi membiasakan para murid dengan sebutan yang hampir sama bunyinya. Ayat yang dibentuk berasaskan perkataan tersebut mestilah bermakna untuk memaksimumkan kesannya kepada murid-murid.
Selain daripada menggunakan kaedah ayat pemintal lidah, aktiviti seperti memadankan perkataan dengan gambar juga merupakan aktiviti yang berkesan bagi meningkatkan lagi kemahiran mendengar murid-murid. Misalnya, murid diberikan sehelai kertas setiap seoran yang mengandungi beberapa set perkataan yang mempunyai sedikit perbezaan bunyi dalam suatu set perkataan.
Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dijalankan seperti :
Aktiviti mendengar yang memerlukan tindak balas ringkas
Aktiviti mendengar yang memerlukan tindak balas yang lebih lama
Aktiviti mendengar sebagai asas untuk belajar dan perbincangan
Dengan wujudnya aktiviti seperti ini, aktiviti mendengar untuk memahami dan melakukan tindak balas juga boleh dilaksanakan. Pada peringkat ini, latihan perlulah diberi sebanyaknya untuk menguji pemahaman murid terhadap apa yang diperdengarkan. Kemudian murid-murid boleh mula bertindak balas.
1.1.2) Kemahiran bertutur
Bagi menguasai kemahiran berbahasa dengan lebih berkesan, kemahiran bertutur perlulah dikuasai terlebih dahulu. Kemahiran bertutur merupakan kemahiran kedua dalam aspek kemahiran berbahasa. Sebagai para guru dan murid, kemahiran bertutur perlulah diadaptasikan semasa berada di sekolah tidak kira di luar mahupun di dalam kelas. Kemahiran ini dikuasai dan dipelajari selepas seseorang pelajar berjaya menguasai kemahiran mendengar. Hal ini kerana kedua-dua kemahiran lisan ini mempunyai hubungan antara satu dengan yang lain. Sekiranya seseorang pelajar itu tidak berjaya menguasai kemahiran mendengar bermakna dia tidak dapat mengetahui tentang bahasa yang digunakan tidak kira di mana mereka berada. Oleh yang demikian, kemahiran bertutur ini boleh disimpulkan sebagai kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan yang merupakan alat artikulator manusia. Termaktublah bahawa dalam kemahiran berbahasa, kemahiran bertutur amat penting apabila Nor Aina Dani (2007) menyatakan bahawa, satu lagi kemahiran yang tergolong dalam kemahiran lisan ialah kemahiran bertutur iaitu kemahiran menyebut dan membunyikan bunyi-bunyi bahasa dengan pengujaran kata-kata atau ayat dalam intonasi, nada, jeda serta helaan yang betul.
Kemahiran bertutur diajarkan kepada murid-murid bagi membolehkan murid-murid bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang sesuai dan betul dalam pelbagai keadaan. Contohnya, perbualan dengan rakan-rakan, guru, ibu bapa serta dalam aktiviti syarahan dan perbahasan. Para guru hendaklah memastikan murid-murid boleh bertutur dengan betul dari segi sebutan, intonasi dan juga menggunakan ayat yang betul dan perkataan yang tepat.
Oleh yang demikian, sebagai seorang guru, kita perlulah tahu aktiviti-aktiviti yang berkesan untuk meningkatkan lagi kemahiran bertutur. Misalnya aktiviti lisan seperti dialog, perbualan, , wawancara, lakonan, temu bual atau temuramah merupakan antara jenis aktiviti yang membolehkan murid-murid menggunakan bahasa dalam bidang komunikasi sehari-hari. Selain daripada aktiviti, latihan-latihan juga wajarlah disediakan oleh para guru sebagai latihan kepada murid-murid di sekolah. Antara latihan yang sesuai dengan kemahiran bertutur iaitu latihan sebutan dan penggunaan tatabahasa.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh para guru kepada murid-murid iaitu aktiviti berbual. Sesuatu tajuk perlulah diberi oleh guru dalam sesebuah perbualan agar perbualan yang akan dijalankan mempunyai matlamat yang hendak dicapai. Kemungkinan besar bukan semua murid akan dapat bercakap dengan guru. Oleh yang demikian para guru perlulah meminta murid-murid sendiri memilih kawan masing-masing supaya mereka lebih selesa untuk berbual. Semasa murid berbincang dengan guru, tidak semestinya murid itu perlu menceritakan hal dirinya atau keluarganya atau mengikut tajuk yang telah ditetapkan, tetapi murid boleh juga menceritakan semula apa yang telah diceritakan oleh rakan bualan mereka bagi menggalakkan lagi murid-murid bertutur berdasarkan perkara yang didengari.
Semasa murid sedang bercerita, guru hendaklah menyusun seberapa banyak strategi agar sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung berjalan dengan lancar. Strateginya iaitu guru menyenaraikan isi-isi yang telah disebutkan oleh murid-murid dalam sesi perbualan. Kemudian guru perlu memilih satu daripada isi penting yang tersenarai lalu membincangkannya dengan lebih mendalam agar minda pelajar terbuka luas untuk lebih mengeluarkan pendapat yang bernas. Guru juga bolehlah merancang tajuk dan ia perlu disebut oleh murid-murid.
Selepas itu, guru hendaklah mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan tajuk yang disebutkan tadi. Berikut merupakan contoh aktiviti perbualan yang boleh dibuat:
Langkah pelaksanaan adalah seperti berikut :
i. Sediakan dan tanya beberapa soalan yang berkaitan dengan penyeliaan restoran melalui pelbagai sudut. Contohnya, panggilan atau gelaran kepada pekerja-pekerja di bahagian tertentu seperti tukang masak, penjaga kaunter bayaran, pelayan tetamu, penghidang makanan dan lain-lain yang berkenaan.
ii. Guru hendaklah menyediakan perkara-perkara yang diperlukan di dalam restoran seperti buku nota pencatat, kalkulator, pensil, pen, alatan masakan dan minuman dan sebagainya.
iii. Guru wajarlah membina restoran makanan olok-olok di dalam kelas dengan cara :
Meletakkan label-label di kaunter yang berkenaan seperti kaunter bayaran makanan, kaunter mengambil tempahan makanan, dapur memasak, meja makan tetamu sebagainya.
Letakkan murid-murid sebagai pekerja di tiap-tiap kaunter supaya mereka dapat menghayati situasi sebenar bekerja di restoran.
Tetapkan para murid untuk memainkan peranan masing-masing misalnya sebagai pelanggan restoran, pekerja yang mengambil tempahan makanan, pelayan tetamu, pengira wang di kaunter bayaran, tukang masak dan sebagainya.
Tetapkan perbualan-perbualan yang dikehendaki dan sesuai dengan situasi seperti :
Pelanggan meminta tempahan makanan
Pelayan tetamu mengambil tempahan makanan
Penjaga kaunter bayaran mengira jumlah tempahan makanan yang perlu dibayar
Tukang masak sedang memasak
iv. Perkenalkan murid-murid dengan benda yang hendak digunakan di dalam restoran tersebut seperti kalkulator, buku nota, pen, penanda meja, topi chef yang memasak dan sebagainya.
v. Guru hendaklah berbincang dengan murid tentang bentuk dan ragam ayat yang digunakan supaya murid faham penggunaan ayat yang diperlukan.
vi. Guru hendaklah mencatat perkataan-perkataan yang hendak digunakan dalam aktivti yang dilakukan iaitu di dalam restoran olok-olok yang telah pun dibina.
vii. Guru perlu menyediakan latihan yang berkenaan dengan penggunaan ayat yang sepatutnya digunakan semasa berada di dalam restoran agar murid dapat memahami ragam bahasa yang digunakan.
viii. Selepas aktiviti selesai dilakukan, para murid yang terlibat dengan aktiviti tersebut diminta untuk menceritakan semula kepada rakan-rakan mereka di hadapan kelas dengan jelas tentang perkara yang mereka faham, lalui, rasa dan juga pendapat mereka.
ix. Guru perlulah melakukan aktiviti mendengar dua hala dengan cara bersoal jawab dengan murid-murid lain yang mengambil bahagian tentang perkara yang telah dilakukan oleh rakan-rakan mereka sebentar tadi.
x. Guru hendaklah menyediakan dialog pendek sebagai ransangan pelajaran lisan untuk aktiviti seterusnya yangberkaitan dengan kemahiran bertutur juga dengan situasi dan tajuk yang lain.
1.1.3) Kemahiran menulis
Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, murid-murid juga akan berkomunikasi melalui penulisan mereka. Bahasa tulisan adalah satu bentuk komunkasi yang paling tinggi dan kompleks khususnya semasa peringkat persekolahan tahap rendah. Menulis adalah satu kemahiran dan juga sebagai saluran untuk murid-murid melahirkan perasaan dan idea yang tercetus dalam minda mereka. Secara kontekstualnya, kemahiran menulis menggabungkan aspek-aspek visual, motor, dan keupayaan membentuk konsep-konsep. Tulisan juga adalah saluran utama bagi murid-murid untuk menunjukkan pengetahuan mereka dalam sesuatu mata pelajaran akademik. Sebelum seseorang murid dapat menggunakan tulisan sebagai media untuk berkomunikasi, ia perlu menguasai kemahiran menulis secara mekanis dahulu, dan selepas itu barulah mereka dapat menulis untuk tujuan berkomunikasi dengan orang lain. Seseorang murid menulis untuk menyatakan idea dan perasaannya atau apa sahaja yang ingin disampaikannya supaya dapat dibaca dan difahami oleh orang lain. Terdapat beberapa aspek tentang kemahiran menulis iaitu dari segi definisi, jenis, peringkat dan contoh aktiviti dalam kemahiran menulis yang perlu dikuasai dan dipraktikkan oleh para murid.
Pembentukan simbol-simbol tulisan dalam bahasa dengan tujuan untuk menyampaikan, menghubungkan sesuatu mesej, maklumat atau idea kepada pembaca merujuk Marohaini Yusoff (2004). Beliau juga menyatakan bahawa menulis merupakan penggunaan huruf-huruf atau gabungan huruf yang berkaitan dengan lambang-lambang bunyi yang kita buat semasa bercakap. Melalui perkara yang dinyatakan ini, para guru dapat memahami bahawa tulisan merupakan sesuatu tindakan yang dapat melahirkan sesuatu perasaan. Melalui maksud yang lain, apabila kita menyatakan sesuatu melalui pertuturan ataupun perasaan serta pemikiran kita, pertuturan, perasaan dan pemikiran tersebut dizahirkan atau diungkapkan dalam bentuk lambang-lambang tulisan. Konklusinya, tulisan merupakan lambang-lambang bunyi bahasa yang dipindahkan ke dalam bentuk grafik untuk murid-murid melahirkan perasaan mereka.
Terdapat pelbagai jenis aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengadaptasi kemahiran menulis dalam diri murid-murid. Hal ini sedia maklum diketahui bahawa kemahiran menulis juga merupakan salah satu kemahiran berbahasa yang sangat penting terutamanya semasa murid-murid menzahirkan bahasa mereka melalui penulisan. Oleh yang demikian sudah terbuktilah bahawa aktiviti-aktiviti perlulah disediakan oleh para guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung supaya murid-murid dapat menerapkan kemahiran-kemahiran berbahasa dengan lebih efektif.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan murid-murid bagi menerapkan kemahiran menulis iaitu aktiviti kemahiran menulis secara terkawal. Melalui aktiviti ini, penggunaan bahasa dan isi yang ditulis oleh para murid dapat dikawal kerana kebanyakan kesilapan dalam penulisan dapat dielakkan. Contohnya, aktiviti bagi jenis penulisan ini ialah seperti mengisi tempat kosong dengan perkataan yang sesuai dalam karangan yang disediakan dan menyusun ayat-ayat yang disediakan mengikut urutan supaya menjadi sebuah karangan lengkap.
Seterusnya kemahiran menulis dapat diadaptasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan cara guru menyediakan soalan yang terkawal juga tetapi murid diberi peluang untuk menggunakan daya pemikiran mereka bagi membuat pemilihan perkataan sesuai dengan tajuk yang disediakan. Contohnya iaitu murid-murid dikehendaki untuk menulis beberapa perkataan yang telah diterbalikkan kedudukan hurufnya.
Para guru juga boleh menyediakan satu karangan panduan supaya murid-murid dapat mengikut karangan tersebut dengan idea masing-masing. Contohnya iaitu murid-murid menulis semula cerita atau petikan yang dibaca kemudian murid menulis karangan berdasarkan soalan-soalan berurutan mengenai sesuatu tajuk dan menulis karangan dengan memindahkan bentuk daripada dialog kepada karangan penceritaan atau sebaliknya.
1.1.4) Kemahiran membaca
Salah satu kemahiran berbahasa yang sangat penting semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung iaitu kemahiran membaca. Oleh yang demiklian, bagi mengadaptasi kemahiran bahasa dalam pelbagai konteks, kemahiran membaca perlulahdikuasai oleh murid-murid mahupun para guru itu sendiri. Hal ini kerana kemahiran membaca merupakan kemahiran lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Sepertimana yang diketahui, melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain. Selain itu, penguasaan kemahiran membaca juga akan dapat membantu dalam menguasai kemahiran menulis yang telah pun diterangkan.
Antara cara untuk mengadaptasikan kemahiran membaca dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu mengetahui beberapa jenis kaedah pembacaan yang perlu dipraktikkan oleh para guru dan juga murid. Terdapat dua jenis bacaan dalam kemahiran membaca iaitu membaca secara bersuara dan juga membaca secara senyap. Bacaan bersuara merupakan bacaan mekanis yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, serta intonasi dan irama mengikut gaya pembacaan yang betul dengan menggerakkan alat-alat ujaran untuk bertutur. Selain itu, kemahiran membaca juga disebut sebagai membaca oral,membaca ulat dan membaca nyaring. Dengan wujudnya bacaan mekanis ini, murid-murid mampu membaca dengan lancar,cekap dan pantas dengan diiringi sebutan dan intonasi yang betul dan jelas. Guru hendaklah memberi satu petikan dalam satu masa tertentu untuk bacaan,sesuai dengan kebolehan dan umur murid-murid.
Membaca senyap pula merupakan kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual dan pengaktirafan mata dan ingatan. Bacaan senyap bertujuan untuk melatih murid-murid supaya membaca sendiri dan memahami perkara yang dibaca. Hal ini juga dapat melatih mereka supaya dapat membaca secara senyap dan pantas tanpa mengganggu orang lain. Cara melaksanakannya pula bahan-bahan yang disediakan haruslah berperingkat-peringkat daripada bahan-bahan yang sedikit dan senang kepada bahan-bahan yang banyak dan susah agar kemahiran membaca para murid dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Antara contoh aktiviti yang boleh dilakukan oleh para guru terhadap murid-murir bagi menerapkan kemahiran membaca iaitu menyediakan bahan bacaan yang bersesuaian dan bertepatan dengan matlamat utama sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Ulasan
Catat Ulasan