BAGAIMANAKAH PERINGKAT-PERINGKAT PENGUASAAN KEMAHIRAN MEMBACA BOLEH DIKUASAI OLEH PELAJAR DENGAN BAIK?
Peringkat-peringkat kemahiran membaca boleh dikuasai oleh pelajar dengan baik melalui pengamalan aktiviti-aktiviti di kelas yang disediakan oleh para guru. Oleh yang demikian para guru perlulah mengetahui pengertian kemahiran membaca yang sebenar agar para guru dapat mengadaptasi kemahiran membaca semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Kemahiran membaca merupakan salah satu kemahiran yang penting bagi mengukuhkan lagi kemahiran berbahasa. Ia merupakan lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain melalui kemahiran membaca. Penguasaan kemahiran membaca juga akan dapat membantu dalam menguasai kemahiran menulis yang diperlukan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru perlulah mengetahui peringkat-peringkat dalam kemahiran membaca supaya murid-murid dapat mengaplikasikan kemahiran membaca dengan lebih berkesan. Hal ini kerana tanpa kemahiran membaca yang utuh dalam diri murid-murid, penyampaian ilmu semasa sesi pengajaran dan pembelajaran tidak dapat disampaikan dengan sebaiknya. Berikut merupakan peringkat-peringkat kemahiran membaca :
1.2.1) Peringkat menyediakan murid
Peringkat menyediakan murid dalam aktiviti pembacaan pada masa kini perlulah di dalami dengan sesungguhnya oleh para guru memandangkan peringkat inilah yang menentukan sama ada kemahiran membaca dapat dipraktikkan sepenuhnya atau tidak dalam diri murid-murid.
Oleh yang demikian, guru-guru hendaklah menyiasat terlebih dahulu akan sifat kesediaan murid- murid mereka sebelum memulakan pelajarannya. Pada peringkat menyediakan murid ini, guru wajiblah memberikan perhatian kepada dua perkara yang perlu dititikberatkan:
a) Perasaan murid-murid
Murid-murid pada masa itu barangkali baru sahaja masuk ke sekolah. Hal ini menunjukkan bahawa murid-murid tidak terbiasa dengan suasana yang berbeza memandangkan ketika di rumah kemudahan yang dapat digunakan berbeza dengan kemudahan di sekolah. Pada masa ini jugalah murid-murid bercampur gaul dengan rakan-rakan sebaya yang kebanyakannya mereka tidak saling kenali.Oleh yang demikian, para guru mestilah bertimbang rasa dan memahami kesulitan mereka. Semasa minggu pertama, para guru hendaklah memujuk murid-murid yang baru sahaja masuk ke sekolah ini kerana apabila guru menganggap murid-murid sebagai anak mereka sendiri, murid-murid akan asa rapat dan mesra dengan para guru justeru dapat menimbulkan rasa suka murid-murid untuk hadir ke sekolah pada setiap hari kerana mendapat layanan yang baik setiap hari.
b) Bahasa murid-murid
Kepayahan sesetengah guru mengajar murid-murid berkaitan dengan kemahiran membaca adalah kerana mereka itu kurang menyiasat tentang keberanian dan kebolehan murid-murid untuk berbahasa dan bertutur, menyatakan fikiran dan perasaan masing-masing dalam bahasa pertuturannya. Pembelajaran tentang berbahasa ini sangat penting kerana bacaan yang dilakukan merupakan penyuaraan lambang-lambang bahasa itu sendiri. Jika bahasa para murid itu belum lengkap, sebutan serta fahamannya belum sempurna dan pertuturannya belum kemas akibatnya kelak menyusahkan pelajar itu sendiri untuk menulis dan membaca. Oleh yang demikian, para guru hendaklah menyiasat tentang bahasa murid-murid itu khasnya tentang bahasa yang perlu digunakan dalam pelajaran bacaan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Apabila perbendaharaan kata yang diperlukan oleh para guru itu belum wujud, guru wajarlah menceritakan dalam bentuk cerita mahupun lisan perbualan.
1.2.2) Peringkat mendirikan asas bacaan
Asas membawa maksud satu permulaan atau tapak bagi sesuatu binaan. Melalui soal mendirikan asas bacaan rumi bahasa Malaysia, perkara-perkara seperti rangkai kata, pemilihan ayat perkataan, suku kata dan huruf-huruf memerlukan kajian yang mendalam dan teliti daripada pihak guru supaya pelajaran yang akan disampaikan itu tidak membosankan para murid itu. Segala hal di atas ini berhubung rapat dengan alatan bantu mengajar serta buku-buku bacaan yang sesuai untuk diberikan kepada para murid. Para guru hendaklah menyediakan kapur-kapur yang berwarna-warni agar dapat menarik perhatian pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, papan magnet yang unik, kad-kad imbasan yang telah tersedia bertulis perkataan yang dikehendaki, kad-kad perkataan suku kata dan ayat tertentu serta gambar-gambar berwarna untuk menarik hati dan minat mereka terhadap sesuatu subjek yang dipelajari.
1.2.3) Peringkat melatih membaca dan memahami
Para guru hendaklah memilih kandungan bacaan yang menepati syarat sebagai bahan bacaan murid-murid seperti kandungan yang diberi dalam pembacaan murid sesuai dengan umur mereka. Guru-guru janganlah hanya mementingkan kelancaran dan sebutan suara sahaja tetapi mestilah menyediakan beberapa set soalan yang mudah bagi menguji kefahaman para murid. Hal ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh pisahkan pelajaran bacaan dengan pelajaran bahasa Malaysia pada keseluruhannya. Melalui perkara ini, bacaan senyap perlulah digalakkan dalam aktiviti bacaan harian murid-murid agar mereka dapat melatih diri sendiri untuk menangkap makna isi pelajaran yang dibaca. Kesimpulannya, kefahaman murid-murid dalam sesuatu pembacaan perlulah wujud supaya sesi pengajaran dan pembelajaran itu dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
1.2.4) Peringkat membaca untuk hiburan dan mencari pengetahuan
Murid-murid yang suka untuk membaca akan terdorong hatinya untuk menggunakan kemahiran membaca yang dijadikan sebagai hiburan harian mereka. Oleh itu, para guru perlulah menyediakan pelbagai sumber bacaan yang menarik agar murid-murid dapat mengembangkan bakat membaca mereka tidak kira masa dan dimana mereka berada. Buku-buku yang biasanya digemari oleh murid-muridmahupun kanak-kanak ialah buku-buku yang mengandungi cerita- cerita dongeng, cerita-cerita binatang, cerita-cerita jenaka, cerita-cerita bergambar dan sebagainya. Jenis buku cerita seperti ini semestinya tidak terlalu panjang atau susah hendak difahami mengikut kesesuaian umur murid-murid itu. Kebiasaannya murid-murid akan kurang tertarik dengan buku-buku yang bahasanya terlalu tinggi dan susah dibaca. Manakala, bagi mendapatkan pengetahuan yang meluas pula, pihak sekolah haruslah memperbanyak lagi buku- buku seperti genre dongeng dan pemilihannya harus bersesuaian dengan minat dan umur para murid sertatidak membosankan.
1.2.5) Peringkat membina sikap gemar membaca
Pengajaran guru di dalam kelas sangat mempengaruhi minat murid-murid terhadap sikap gemar membaca. Sikap gemar membaca ini bukanlah dipelihara semasa murid-murid baharu belajar membaca tetapi sebenarnya sepanjang masa, sama dengan peringkat- peringkat yang lain juga. Setiap bahan pelajaran yang menarik dan disusun dengan cermat, teknik mengajar yang baik, kaedah yang baik adalah di antara rahsia bagi mendirikan sikap gemar membaca ini dalam diri pelajar itu sendiri. Oleh yang demikian, guru-guru hendaklah berhati-hati dalam memilih bahan–bahan pelajaran murid-murid, buku-buku bacaannya , kaedah mengajarnya dan lain- lain supaya terbina dan terpeliharalah sikap suka membaca dalam diri para pelajar itu.
Ulasan
Catat Ulasan