FIQH SOLAT (TOPIK 3)
PENGENALAN
Topik ini adalah
berkaitan dengan beberapa persoalan
penting dalam aspek ibadah yang akan dipelajari oleh pelajar PPISMP Semester 2.
Pelajar akan didedahkan tentang falsafah solat dari sudut ketenangan, kesyukuran, pengabdian dan
keharmonian. Topik
ini juga akan menjelaskan kepentingan solat dalam kehidupan Muslim. Seterusnya
topik ini mendedahkan solat menurut perspektif Sains dan kesihatan.
1. FALSAFAH SOLAT
Allah s.w.t.
menciptakan semua makhluk adalah bertujuan untuk menyembahNya. Hakikat kejadian
manusia dan seluruh makhluk di langit dan bumi seperti jin, malaikat dan
sebagainya adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Perkara ini telah
disebut di dalam al-Quran iaitu:
Maksudnya: Dan
Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.
(Al-Zariyat : 56)
Dalam ayat lain Allah s.w.t. telah berfirman mengenai hal yang
sama:
Maksudnya: Hai manusia, sembahlah
Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang sebelummu agar kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah :
21)
Oleh kerana solat adalah kemuncak usaha untuk mendekatkan diri
kepada Allah maka ia diwajibkan ke atas setiap muslim agar dilakukan secara
berterusan hingga ke akhir hayat. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak dan
keturunannya adalah daripada golongan yang menunaikan solat. Para guru dan
pendidik perlu memastikan anak muridnya mendapat ilmu berkaitan solat dengan
sempurna. Pendidikan sejak kecil iaitu bermula dari sekolah rendah ataupun
berumur tujuh tahun amat penting dan perlu diberi keutamaan, sepertimana yang
telah dianjurkan oleh Rasulullah saw. Ini adalah bertujuan memastikan anak-anak
di rumah dan murid-murid di sekolah stiqamah dalam menunaikan solat di samping
membentuk akhlak mereka menurut Islam.
1.1 Definisi Solat
Pengertian solat dalam bahasa Arab bermaksud doa atau doa ke arah
kebaikan. Maksud ini selaras dengan firman Allah s.w.t:
Maksudnya: Ambilah (sebahagian)
dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan
mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan
doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi
mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Surah al-Taubah (9): 103
Ayat ini menerangkan doa yang membawa ketenangan, kekuatan,
ketekunan dan keyakinan. Ada juga yang berpendapat bahawa solat pada
istilah syarak ialah menghadapkan jiwa raga kepada Allah kerana taqwa kepadaNya
serta mengagungkan kebesaranNya dengan penuh khusyuk dan ikhlas samada melalui
perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam
serta mengakui syarat-syarat dan rukun-rukun yang ditetapkan. Sabda Rasulullah
saw:
مِفْتاَحُ الصَّلاَة
الطُّهُوْرُ وَتـَحْريـْمُهَا التَّـكْبِيْرُ وَتـَحْلِيْلُهَا التَّسْلِيْمُ
Maksudnya: Anak kunci solat ialah bersuci yang
mengharamkannya ialah takbir dan merungkaikannya ialah salam.
Para fuqaha' telah mengemukakan pelbagai definisi dan pengertian
di antaranya ialah ahli-ahli fekah berpendapat solat ialah perkataan-perkataan
dan perbuatan-perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir al-ihram dan
diakhiri dengan salam. Ia juga bermaksud berhadapan hati kepada
Allah s.w.t. dengan cara mendatangkan rasa takut kepadaNya serta menumbuhkan di
dalam jiwa, rasa kebesaranNya dan kesempurnaan kekuasaanNya.
Hasil daripada gabungan pengertian di atas membawa maksud solat
adalah menzahirkan hajat dan keperluan kita kepada Allah s.w.t. melalui perkataan
dan perbuatan atau kedua-duanya sekali. Dari segi roh ialah keikhlasan
menghadap Allah s.w.t. dengan kehadiran hati dalam berzikir, berdoa dan memuji.
Berdasarkan pengertian yang telah diberikan juga dapat dibuat
kesimpulan bahawa pengertian solat yang menyeluruh ialah ibadah yang
dilaksanakan dengan anggota zahir dan batin dengan mengarahkan sebulat hati
kepada Allah tanpa lalai sedikit pun. Di samping itu juga, ianya perlu
mendatangkan rasa takut kepada Allah s.w.t dan menumbuhkan rasa keagungan dan kebesaranNya
serta melaksanakan dengan penuh khusyuk dan ikhlas. Ia juga merangkumi ucapan
dan perbuatan yang akan menanam kekuatan dalam diri manusia demi menyelamatkan
mereka dari segala penderitaan yang wujud dalam kehidupan.
1.2 Dalil-dalil
Pensyariatan Solat.
Ibadat solat adalah ibadat yang pertama sekali diwajibkan oleh
Allah s.w.t. ke atas para hambaNya. Perintah supaya mengerjakan solat diterima
secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. pada malam Israk Mikraj pada 27 Rejab,
satu setengah tahun sebelum baginda berhijrah dari Mekkah ke Madinah. Solat
difardhukan berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah.
- Al-Quran.
Terdapat banyak ayat al-Quran yang memerintahkan manusia supaya
menunaikan solat di antaranya firman Allah s.w.t.:
Maksudnya: Kemudian
apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan
mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.
kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka
dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat
itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang
tertentu waktunya.
(Al-Nisa' :
103)
Menurut Imam al-Fakhr al-Razi, di dalam ayat ini Allah menerangkan
bahawa ibadat solat itu wajib pada setiap waktu yang telah ditetapkan iaitu
solat lima waktu. Ayat ini juga menerangkan bahawa solat itu merupakan satu
kefardhuan terhadap orang-orang mukmin. Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya: Dan perintahkanlah
keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar
menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang
memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi
orang-orang yang bertaqwa.
(Surah Thaha :
132)
Seterusnya Allah s.w.t. berfirman:
Maksudnya:
Oleh itu, dirikanlah solat, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu
kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. maka (Allah yang demikian sifatnya) Dialah
sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.
(Surah al-Hajj : 78)
Ayat tersebut jelas menunjukkan ibadat solat dan zakat merupakan
dua kefardhuan yang wajib ditunaikan oleh hambanya kerana Allah. Syabini
al-Khatib menjelaskan ayat di atas bermaksud memelihara solat dengan penuh
kesempurnaan. Ia merupakan ibadat badaniah yang wajib ke atas setiap muslim
sebanyak lima kali sehari semalam pada waktu-waktu tertentu.
Penjelasan solat termaktub dengan jelas di dalam al-Quran di mana
umat Islam diwajibkan supaya melaksanakan tuntutan tersebut. Di dalamnya juga
menyatakan tentang balasan dan ancaman buruk bagi sesiapa yang meninggal dan
lalai menunaikan solat.
- Al-Hadis :
Kewajipan solat dijelaskan dalam hadis dan peranannya juga mudah
difahami. Di dalamnya juga disebut sifat-sifat solat dan juga kejayaan terhadap
mereka yang menyempurnakan solat dan kecelakaan ke atas mereka yang gagal
melaksanakannya dengan baik. Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang
membicarakan mengenai solat, kaedah dan tatacara solat sebagaimana dijelaskan
dalam sabda baginda:
صَلُّوْا
كَمَا رَأيْتُمُوْني اُصَلِّى
Maksudnya: Solatlah kamu sebagaimana kamu
melihat aku solat.
Hadis di atas menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. menyarankan
umatnya mengerjakan ibadah solat sepertimana baginda kerjakan. Ini termasuklah
segala perbuatan yang dilakukan dan perkataan yang dilafazkan dalam solat.
Seterusnya baginda menerangkan lagi, bahawa solat merupakan satu dari
lima perkara asas terbentuknya Islam.
بُنِيَ
الاسْلامُ عَلَى خَـمْسٍ:شَهَادَةُ أنْ لا إلهَ إلا الله وأنَّ مُـحَمَّدَ
رَسُوْلُ الله
وَأقَامُ الصَّلاةَ وَإيْتَاءِ الزَّكَاة
وَالحَجّ وَصَوْمُ رَمَضَانِ
Maksudnya: Islam
dibina atas lima perkara: Mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat,
mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.
Sabda Rasulullah lagi:
إنَّ أوَّلَ مَا يُحَاسَبُ
بِهِ الْعَبْدُ المسلِم يَوْمَ القِيَامَةِ الصَّلاةُ المَكْـتُوْبَةُ فَإنْ
أتَـمَّهَا وَإلاَّ قِيْلَ: أنظُرُوْا هَلْ لَهُ مِنْ تَطَوُّعٍ فَإنْ كَانَ لَهُ تَطَوُعٌّ أكْمِلَتِ
الفَرِيْضَةُ مَنْ تَطَوُّعِهِ ثمَّ يُفْعَلُ بِسَائِرِالأعْمَالِ المفْرُوْضَة مثلُ َذلكَ
Maksudnya: Sesungguhnya
perkara pertama yang akan dihisab pada setiap orang di hari Kiamat ialah solat
fardhu, sekiranya telah disempurnakan, jika tidak akan ditanya adakah mereka
melakukan solat sunat? Jika ada, disempurnakan solat fardhu tadi dengan solat
sunat kemudian amalan fardhu yang lain pun demikian juga.
Solat adalah ibadat fardhu yang dijelaskan dalam al-Quran dan
al-Hadis. Kedua-duanya menyebut perkara-perkara yang berkaitan dengan solat
iaitu diterangkan kepada umat Islam tentang kaedah solat yang sebenar,
kelebihan, darjat solat serta ancaman terhadap penyelewengan solat. Antara
amalan manusia yang pertama dihisab oleh Allah setelah manusia dibangkitkan di
Padang Mahsyar ialah solat. Ini kerana solat adalah ibadat yang penting dan
semua ibadat lain akan dapat dilaksanakan sekira ibadat solat ditunaikan
terlebih dahulu.
1.3 Solat
memberi ketenangan, kesyukuran, pengabdian dan keharmonian
a. Ketenangan
Hidup
ini telah diumpamakan oleh sesetengah ahli falsafah sebagai tempat untuk
menyelesaikan masalah. Justeru, apabila berdepan dengan masalah, segeralah
dapatkan kekuatan, kebijaksanaan dan kesabaran untuk menyelesaikannya. Caranya
ialah dengan mengadu kepada Allah yang “memberi” masalah itu.
Rasulullah menjadikan solat sebagai
perkara yang menyeronokkan dan menenangkan hati.
Sabda Rasulullah
SAW:
جُعِلَتْ
قُرَّةُ عَيْنِيْ فِي الصَّلاَةِ
Aku menjadi tenang dalam solat.
Tentu
sahaja dalam solat itu, Rasulullah menemui ketenangan dan kekuatan. Bayangkan,
betapa kukuh dan teguhnya jiwa Rasulullah. Baginda dibantu oleh wahyu dan
diperkuatkan oleh mukjizat, namun Baginda masih mencari kekuatan dengan solat.
Oleh kerana diri kita yang begitu lemah, sepatutnya lebih-lebih lagi berusaha
mendapat bantuan Allah menerusi solat.
Marilah
mencari kerehatan dengan solat. Mudah-mudahan hati kita menjadi tenang
menghadapi ujian kehidupan.
Solat
ialah sebesar-besar dan seutama-utama zikrullah. Firman Allah mafhumnya:
“Dan
dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”
(Taaha : 14)
Hati
yang mengingati Allah akan mendapat ketenangan. Ini dapat dilihat dalam firman
Allah yang lain, mafhumnya:
“Ketahuilah
dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
(Al-Ra’d 13: 28)
Ketenangan
itulah kekuatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Kita menghadapi
ujian bukan dengan kekuatan otot dan fizikal, tetapi dengan kekuatan hati. Hati
yang tenang tidak akan mudah kecewa, bosan, putus asa dan marah apabila
berdepan dengan kegagalan, kesakitan, kekurangan dan kekalahan dalam hidup.
b. Kesyukuran
Allah
s.w.t. telah mengurniakan nikmatnya yang tidak terhingga kepada manusia. Nikmat
Allah swt tidak dapat dihitung oleh sesiapapun:
Maksudnya;
“Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang
kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu
menentukan bilangannya”. ( Ibrahim: 34)
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta
untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu
sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan
yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.
(Al-Kahfi:109)
Nikmat
Allah s.w.t. tidak terhitung itu yang dikurniakan kepada semua manusia. Sesiapa
yang melakukan solat adalah di antara tanda-tanda mensyukuri segala nikmat
Allah s.w.t.
- Pengabdian
Solat adalah untuk
menyembah dan mengingati Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T:
Maksudnya:
”Dan dirikanlah solat itu semata-mata
untuk mengingati Daku”.
(Thaha : 14)
Solat
adalah pengabdian seorang hamba kepada Allah S.W.T. Berdasarkan maksud ayat ini
solat adalah jalan bagaimana untuk kita sentiasa mengingati Allah Ta’ala.
Sekali gus solat juga merupakan tanda pengabdian dan syukur seorang hamba
kepada Allah S.W.T. atas segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada
kita. Solat merupakan tanda pengabdian seorang hamba kepada Allah S.W.T. di atas
segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita. Sekiranya seorang
muslim tidak melaksanakan solat,bagaimana cara dia mengucapkan syukur kepada
Allah Taala. Adakah cukup sekadar mengungkap ucapan Alhamdulillah atau terima
kasih Allah tanpa solat. Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat adalah
golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan sombong seperti lagak Firaun dan
Qarun.
- Keharmonian
Solat
berjemaah di masjid adalah mampu untuk melahirkan keharmonian. Solat juga mampu
membentuk ukhwah dan saling bertukar fikiran secara rasional tanpa mengira
latar belakang dan fahaman. Ini kerana setiap individu menjaga adab ketika
berada di rumah Allah s.w.t.
Solat
berjemaah mengajar umat Islam hidup bermasyarakat dengan disiplin dan peraturan
yang murni dan luhur. Ini dapat digambarkan apabila azan berkumandang, maka
bilallah yang patut dipatuhi dan imam solat yang mesti diikuti, serta saff
jemaah yang mesti diperhati, berdiri sama lurus, rukuk sama tunduk dan sujud
sama merendah diri sebagai syiar dan lambang untuk sama-sama meletakkan kepada
Allah s.w.t dan ketaatan hanya kepada Allah s.w.t dalam menjalani hidup
berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat, bekerja dan bernegara.
Apabila
masyarakat mengerjakan solat berjemaah maka terhakislah rasa sombong, dengki
dan riya’ bahkan terhasil hidup dalam keadaan berdisiplin dan mematuhi
peraturan-peraturan yang luhur. Begitu juga akan terjalin rasa saling memahami,
hidup tenang, bersopan santun dan penuh kemesraan.
Oleh
itu, sebolehnya kita jadikan solat kaedah untuk mendapat ketenangan,
kesyukuran, pengabdian dan keharmonian di dalam diri. Bahkan kepada ahli keluarga,
masyarakat dan semua manusia.
2. KEPENTINGAN
SOLAT DALAM KEHIDUPAN MUSLIM
Solat merupakan perkara pokok dalam Islam yang berkaitan dengan
ibadah. Kedudukannya selepas ucapan dua kalimah syahadah dalam rukun Islam
menunjukkan solat merupakan ibadah utama yang dituntut.
2.1 Kepentingan Solat Dalam Kehidupan Muslim
Kepentingan solat dapat dilihat dengan praktikal lahir dan batin
yang dilakukan sepenuh hati menghadap Allah. Solat dilakukan bertujuan
membenarkan pengakuan ucapan dua kalimah syahadah. Justeru itu di dalam Islam
solat merupakan ibadah pokok yang paling utama. Di samping itu ia bersifat
sebagai tiang agama. Sabda Rasulullah s.a.w.:
رَأسُ
الأمْرِ الإسْلامُ وَعُمُوْدُهُ الصَّلاةُ وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ
Maksudnya: Pokok
segala urusan ialah Islam (menyerah diri kepada Allah s.w.l), tiangnya ialah
solat dan kemuncaknya ialah berjihad di jalan Allah s.w.t.
Solat merupakan ibadah yang mula-mula sekali difardhukan kepada
setiap individu muslim. Rasulullah s.a.w. menerima perintah mendirikan solat
sewaktu baginda diundang oleh Allah s.w.t. pada malam Israk dan Mikraj secara
langsung tanpa perantaraan. Ini menunjukkan kepada manusia bahawa
solat itu suatu tugas dan amanah dari Allah yang mesti dilakukan dengan cara
yang terbaik. Oleh kerana itu, orang-orang yang gagal mengerjakan solat adalah
dianggap rugi. Sebaliknya orang yang khusyuk dalam solat akan beroleh
kemenangan dan kejayaan. Allah s.w.t. telah berfirman:
Maksudnya: Sesungguhnya
berjayalah orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang khusyuk dalam solatnya.
(Al-Mukminun :
1-2)
Apa yang dimaksudkan berjaya dalam ayat ialah Allah s.w.t. telah
meredhai amalan orang mukmin yang khusyuk di dalam solatnya dan mereka akan
ditempatkan di dalam syurga Firdaus serta kekal di dalamnya. Hal ini dijelaskan
oleh Allah s.w.t. dalam ayat berikut:
Maksudnya: Dan orang-orang yang
memelihara solatnya mereka itulah orang yang akan mewarisi (iaitu) yang akan
mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.
(Al-Mukminun :
9-11)
Selain itu, kelebihan dari segi pahala solat fardu lima kali
sehari semalam adalah menyamai lima puluh kali solat setiap hari. Ini
berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w.:
فُرِضَتْ عَلَى النبى صلى
الله عليه وسلم لَيْلَةُ اسْرَى بِهِ الصَّلَوَاتُ خَمْسِيْنَ ثمَّ نُقِصَتْ
حَتَّى جُعِلتْ خَمْسًا ثمَّ نُوْدِيَ يَا مُحَمَّدُ إنَّه لا يُبَدِّلُ القَوْلُ
لَدَيَّ وَإنَّ لكَ بِهذِهِ الخَمْسَ خَمْسِيْن
Maksudnya: Difardhukan
solat ke alas Nabi Muhammad saw pada malam Israk sebanyak lima puluh waklu
kemudian dikurangkan hingga menjadi lima waklu, lantas Nabi Muhammad diseru, Ya
Muhammad: sesungguhnya perkataan di sisiku tidak dapat diubah lagi dan
sesungguhnya bagi engkau dengan solat lima waklu ini (dinilai sama) dengan lima
puluh waktu.
Rasulullah s.a.w.
menjelaskan tentang kegagalan
orang-orang yang mendirikan solat dengan sabdanya:
رُبَّ
قـَائِمٍ لـَيْسَ لَـهُ مِنْ قِيَامِهِ إلا السَّهـرُ
Maksudnya: Banyak sekali orang-orang
yang mengerjakan solat tidak ada daripada pekerjaan solat itu melainkan berjaga
malam sahaja.
Di dalam Islam, solat menjadi satu keutamaan dan sebagai tiang yang
menyokong ibadah-ibadah yang lain. Kelebihannya ialah dengan menanamkan rasa
khusyuk dan merendahkan diri setiap individu di sisi Allah s.w.t. Perkara ini
dinyatakan dalam hadis:
أقـرَبُ
مَا يَكُوْنُ العَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَـأكْـثَـرُوا الدُّعَاءَ
Maksudnya: Keadaan yang paling dekat
bagi seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di dalam keadaan dia sedang sujud.
Maka banyakkanlah berdoa ketika itu.
Solat juga merupakan amalan yang paling utama selepas pengakuan
beriman dengan Allah. Bertepatan dengan kedudukannya sebagai ibadah yang paling
utama dalam Islam dan dikasihi Allah, amalan ini lebih bersifat praktikal dari
sudut rohani dan jasmani. Ia juga menghendaki jiwa dan perasaan individu bersih
daripada sebarang bentuk kesyirikan kepada Allah.
Oleh kerana ianya bersifat rabbani dengan sendirinya solat itu
adalah menyucikan jiwa dan akal individu muslim dari sebarang perkara mungkar.
Bersih dari sebarang unsur kesyirikan terhadap Allah s.w.t. dan segala
sifat-sifat buruk yang bertentangan dengan naluri manusia muslim. Ini
dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya:
Maksudnya:
Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu
dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); Sesungguhnya solat itu
mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah
adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui
akan apa yang kamu kerjakan.
(Al-Ankabut
: 45)
Setiap amalan ibadah dalam Islam merupakan pengesahan keimanan
seseorang yang beriman. Dengan demikian setiap amalan ibadah mencerminkan
kehidupan seorang muslim dalam seluruh aspek. Pokok ibadah ialah solat dan
ianya memberi kesan ke dalam kehidupan kita seperti mensucikan serta
membersihkan hati kita.
Solat adalah ibadat yang paling utama untuk membuktikan keislaman
seseorang. Bagi mengukur keimanan dan keikhlasannya dapat kita lihat ketika
seseorang mendirikan dan mengerjakan solat. Islam memandang solat sebagai tiang
agama dan intisari Islam terletak pada solat kerana dalam solat tersimpul
seluruh rukun agama merangkumi ucapan dua kalimah syahadah tanda kesucian hati
terhadap Allah s.w.t., agama dan manusia. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah
mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka dan kepada
Tuhanlah mereka bertawakkal. Iaitu mereka yang mendirikan solat dan menafkahkan
sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang
beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperolehi beberapa darjat
ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki yang mulia.
(Al-Anfal :
2-4)
Terdapat pelbagai keterangan yang menegaskan bahawa iman dan
amalan seseorang tidak diterima melainkan orang itu mendirikan solat. Jelasnya,
apabila solat dapat diselesaikan maka amalan-amalan lain juga akan mudah
diterima oleh Allah.
Antara kepentingan solat ialah:
1.
Bukti kehambaan kepada Allah
Solat mempunyai peranan yang sangat penting di dalam diri
seseorang dan sesebuah masyarakat. Fungsinya amat besar dalam kehidupan kerana
ia merupakan pertalian terus menerus di antara hamba dengan Allah s.w.t. tanpa
sebarang perantaraan, samada orang biasa atau golongan ulamak. Firman
Allah s.w.t:
Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang
Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat, Aku mengabulkan permohonan
orang yang mendoa apabila dia berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu
memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka
selalu berada dalam kebenaran.
Surah al-Baqarah (2):
186
Tujuan utama difardhukan solat ialah untuk membuktikan tanda
keimanan seseorang hamba. Tidak ada iman tanpa solat. Ini kerana Iman dan Islam
saling bertautan. Justeru itu, apabila seseorang mengaku beriman tetapi tidak
pernah melakukan solat maka perlakuannya tidak diterima oleh syarak. Tujuan
yang lain ialah untuk menjauhkan manusia dari perbuatan tidak elok dan
membersihkan diri daripada ucapan dan perlakuan yang buruk.
2. Membersihkan jiwa
atau rohani.
Sabda Rasulullah s.a.w:
مَا
مِنْ إمْرِئٍ مُسْلِمٍ تَحْضُرُهُ صَلاةٌ مَكْتُوْبَهٌ فَيُحْسِنُ وُضُؤَهَا
وَخُشُوعَهَا وَرُكُوعَهَا إلا كَانَتْ كَفَارَةً لِمَا قَبْلَهَا مِنَ الذُّ
نُوْبِ مَا لَمْ يُؤْتِ كَبيْرَةً وَذلِكَ الدَّهْر كُلَّه
Maksudnya: Tiada
seorang muslim yang menghadiri solat wajib lalu disempurnakannya wudhuk,
khusyuk dan rukuknya melainkan solat itu menjadi penebus dosa yang terjadi
sebelumnya selama tidak mengerjakan dosa besar dan itu untuk selamanya.
3. Membina jiwa dan
iman seseorang.
Mengingati solat adalah perkara utama rukun Islam dan sekaligus
merupakan bukti keimanan seseorang. Firman Allah s.w.t
Maksudnya:
Alif Lam Mini. Kitab al-Quran ini
tidak ada sebarang syak padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang
bertakwa iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan
mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan
kepada mereka.
(Al-Baqarah : 1-3)
Jelasnya, apabila sempurna solat seseorang maka eloklah dalam
segala amal ibadahnya yang lain. Ia juga memberi kesan terhadap tingkahlaku
dalam kehidupan seharian.
4. Mencegah perkara
keji dan mungkar.
Firman Allah s.w.t:
ã@ø?$# !$tB zÓÇrré& y7øs9Î) ÆÏB É=»tGÅ3ø9$# ÉOÏ%r&ur no4qn=¢Á9$# ( cÎ) no4qn=¢Á9$# 4sS÷Zs? ÇÆtã Ïä!$t±ósxÿø9$# Ìs3ZßJø9$#ur 3 ãø.Ï%s!ur «!$# çt9ò2r& 3 ª!$#ur ÞOn=÷èt $tB tbqãèoYóÁs? ÇÍÎÈ
Maksudnya: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang
diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun);
sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan
sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan
(ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
(Al-Ankabut :45)
Menurut Imam al-Ghazali, ayat tersebut menyatakan bahawa dengan
solat, perkara keji dan mungkar dapat dihindari. Ini kerana solat itu dapat
mengawal nafsu seseorang, namun jika sebaliknya iaitu jika solat seseorang
tidak dapat mencegah perkara keji dan mungkar maka seseorang itu bukan semakin
rapat malah semakin jauh.
Jelasnya, hanya solat yang sempurna atau yang dibina atas dasar
khusyuk dan rendah diri kepada Allah s.w.t. dapat menyinari hati, membersihkan
jiwa dan mengajar seseorang hamba itu adab-adab pengabdian serta kewajipannya
terhadap Allah s.w.t. Ianya dapat menanamkan rasa keagungan kepada Allah di
hati pemiliknya.
5. Mendisiplinkan
diri
Solat sememangnya mampu melahirkan individu yang berdisiplin dalam
banyak segi seperti kepatuhan kepada waktu. Solat melatih insan supaya sentiasa
bersedia dan berwaspada kepada waktu iaitu waktu menunaikan solat. Apabila tiba
waktunya maka digalakkan bersegera menunaikan panggilan azan dan janganlah
lalai atau leka dengan urusan lain. Ini adalah kerana kita berkeyakinan
Allahlah yang lebih besar serta paling layak dimuliakan. Falsafah daripada
konsep ini ialah kita harus berdisiplin dengan waktu dalam setiap urusan.
Solat juga mendidik seseorang agar taat kepada pemimpin dan
menghindari dari setiap perkara yang dimurkai Allah s.w.t. Seterusnya kita
dilatih mematuhi setiap suruhan sebagaimana di dalam solat untuk dipraktikkan
di luar solat seperti menutup aurat, menjaga hati, merendahkan pandangan,
menepati janji dan seumpamanya.
Solat berjamaah pula melatih umat Islam mentaati pemimpin,
mengikuti peraturan, mematuhi undang-undang dan menghormati ketua. Keadaan ini
dapat dilihat apabila imam mengangkat takbir, para makmun turut sama-sama
mengangkat takbir, apabila imam membaca al-Fatihah atau ayat al-Quran para
makmun mendengar dengan teliti dan tekun, apabila imam rukuk maka para makmun
turut rukuk begitu juga ketika imam sujud maka para makmun turut sujud
sehinggalah ketika imam memberi salam. Oleh itu sesiapa yang terkeluar daripada
garisan dan peraturan ini, seolah-olah telah keluar sifat-sifat kemanusiaannya.
Perkara yang perlu dititikberatkan juga ialah solat berjamaah
kerana ianya mempunyai hikmah yang tersendiri dari segi mendidik hidup
bermasyarakat. Ia bukan sahaja dapat memupuk semangat saling kenal mengenali
antara satu sama lain, malah dapat mengikis penyakit masyarakat yang
mementingkan diri sendiri. Seterusnya kita dapat berbincang untuk menyelesaikan
masalah yang timbul di samping melahirkan perasaan kekeluargaan dan kasih
sayang. Oleh itu solat berjamaah telah dijadikan fardhu kifayah dan diberi
darjat yang tinggi berbanding solat bersendirian.
Dengan demikian, solat lima
waktu merupakan sumber utama terhadap kemuliaan akhlak dan pembentukan nilai
kehidupan setiap orang. Oleh itu, solat hendaklah didirikan dengan
sebaik-baiknya untuk menjadi insan kamil, peribadi muslim yang sempurna dan
sentiasa aktif lagi dinamis dalam menjalankan pengabdian kepada Allah s.w.t.
serta kebaktian terhadap sesama manusia.
3. SOLAT MENURUT PERSPEKTIF SAINS DAN
KESIHATAN
Sebelum
membicarakan ibadat solat menurut perspektif sains dan kesihatan, terlebih
dahulu kita melihat ibadat berwuduk menurut perspektif tersebut. Mengambil wuduk
dengan sempurna disertai penuh pemahaman dan menghayati hikmah semasa
mengenakan air di setiap anggota wuduk akan memberi kesihatan kepada seseorang.
Apabila kita menyempurnakannya, sudah tentu kita akan menikmati kelebihan atau
fadilat berwuduk menurut perspektif sains dan kesihatan. Terdapat anggota yang
wajib dan juga anggota yang sunat ketika berwuduk. Kedua-dua anggota wajib dan
sunat perlu dibuat kerana kesemuanya mempunyai hikmah dan kebaikan tertentu.
3.1 Wuduk menurut perspektif Sains dan kesihatan
Bermula
dengan kita bersugi atau berus gigi. Semasa bersugi segala kotoran akan
dibersihkan dan mulut menjadi segar. Semua makanan yang tertinggal di celah
gigi dapat dibersihkan, tetapi jika sebaliknya makanan yang terlekat di celah
gigi akan mengganggu semasa membaca bacaan solat. Secara tidak langsung dengan
bersugi akan melancarkan bacaan di dalam solat.
Bersugi
sebelum menunaikan solat sangat dituntut oleh Rasulullah, andainya ia tidak
menyusahkan umatnya, ia hampir menjadi suatu kewajipan. Betapa Allah dan
Rasulullah SAW mementingkan kebersihan mulut khususnya sebelum kita menunaikan
solat. Dengan itu gigi dan mulut kita akan sentiasa bersih dan manusia di
sekeliling akan selesa mendampingi kita apabila mereka berada bersebelahan
dengan kita ketika di dalam saf.
a) Membasuh kedua-dua pergelangan tangan.
Kesihatan yang kita akan perolehi ialah
kebersihan tangan kita boleh menghindarkan pelbagai penyakit. Ini kerana dalam
pekerjaan seharian kedua-dua belah tangan digunakan untuk memegang pelbagai
benda. Kemungkinan tangan kita akan tersentuh bakteria atau kuman semasa kita
bekerja. Membasuh kedua-dua belah tangan dan celah-celah kuku akan
menghindarkan sebarang jangkitan kuman.
Kajian Sains telah membuktikan ada
kedua-dua belah tangan ada urat saraf yang sangat sensitif terutama di telapak
tangan. Apabila saraf-saraf yang halus tersentuh air, maka ia akan meningkatkan
daya rangsangan pada telapak tangan. Peredaran darah akan kembali lancar dan
mengembalikan kesegaran pada kedua-duanya.
b) Berkumur-kumur.
Berkumur-kumur akan membersihkan mulut
daripada sisa makanan yang ada di dalam mulut setelah kita bersugi. Berkumur
juga dapat menggerakkan otot-otot dan urat pada wajah melalui regangan untuk
menguatkan otot-otot pipi. Selain itu juga mampu mengelakkan daripada berlaku
radang kerongkong, gusi dan paru-paru. Berkumur-kumur juga dipercayai dapat
menghindarkan daripada penyakit selesema dan demam.
c) Memasukkan
air ke dalam hidung dengan kadar sedikit dan mengeluarkan semula.
Semua kotoran yang ada di dalam udara yang
disedut oleh hidung akan dapat dibersihkan. Cara ini dapat membersihkan
sebarang kuman yang terdapat di dalam rongga hidung kerana udara yang kita
sedut mengandungi bahan debu, kotoran dan kuman.
Cara ini akan membersihkan hidung serta
menyegarkan pernafasan dan fikiran. Kekerapan memasukkan air ke dalam hidung
dapat mengelakkan berlakunya tompokan bakteria di dalam hidung. Secara tidak
langsung dengan membasuh hidung akan menjauhkan penyakit resdung, sinus dan
penyakit-penyakit yang berkaitan dengannya. Melalui hidung berbagai-bagai
penyakit boleh dihidapi jika kotoran tidak dibersihkan.
d) Membasuh
muka.
Muka kita terdapat banyak titik-titik
sensitif yang apabila dikenakan air ia akan merangsang liang roma untuk
mengaktifkan semula kawasan tersebut. Rongga kulit akan terbuka sambil
mengeluarkan kotoran yang terlekat di celah-celah rongga. Muka kita akan berasa
segar dan kotoran akan dibuang daripada melekat di bahagian muka. Apabila kulit
muka disapu dengan air, ia dapat membantu mengeluarkan kandungan minyak yang
terdapat di dalam kelenjar kulit. Kuman tersebut kalau tidak dibersihkan boleh
mendatangkan penyakit seperti jerawat, kudis, gatal dan sebagainya.
Membasuh muka juga dipercayai boleh
memelihara kesihatan mata dan menjauhinya daripada penyakit rabun. Sudah tentu,
muka kita akan bercahaya di akhirat nanti sebagai bukti orang yang sentiasa
mengambil wuduk. Nur yang terpancar di muka kita adalah anugerah Allah kepada
hamba-Nya yang taat. Kita berdoa semoga kita dimasukkan di dalam golongan
tersebut.
e) Membasuh tangan hingga ke siku.
Kajian telah membuktikan bahawa membasuh
tangan hingga ke siku melancarkan peredaran darah pada organ tangan di bahagian
atas dan lengan. Kedua lengan dan tangan adalah organ-organ yang paling lemah dibandingkan
organ tubuh lainnya kerana jauhnya daripada pusat peredaran darah iaitu
jantung. Apabila kita membasuhnya serta menggosoknya, dengan cara ini mampu
merangsang saraf-saraf di bawah lengan untuk aktif dan melancarkan pengaliran
darah.
Ia juga boleh menguatkan peredaran
darah pada organ-organ tersebut sehingga membantu kita menambah tenaga.
Kedua-dua tangan ini juga yang sering digunakan oleh manusia untuk menyentuh
sesuatu yang mudah terjadi jangkitan kuman semasa memegang benda-benda. Di antara
kuman itu ialah cacing pita di celah-celah kuku yang boleh membawa penyakit
berbahaya di dalam perut dan usus.
f) Membasuh
sedikit kepala.
Menyapu air di kepala mampu menghilangkan
rasa pening dan menurunkan tekanan darah. Air akan segera meredakan kepanasan
yang ada pada suhu kepala dan seterusnya mengembalikan suhu normal kepala.
Darah akan mengalir seperti biasa dan dapat memperbaiki degupan jantung.
Membasuh keseluruhan kepala dapat meredakan rasa marah, migrain, tekanan dan
penyakit jantung.
g) Membasuh kedua-dua telinga.
Antara kelebihan berwuduk ialah dapat
menjaga kebersihan telinga. Telinga mudah dihinggapi kotoran yang boleh
menghalang gelombang bunyi masuk ke dalam rongga telinga. Dengan membasuh
telinga mampu memulihkan sistem deria dan tahap penerimaan getaran dapat
diaktifkan. Di samping itu juga air boleh membantu memulihkan sistem daya
imbangan di dalam telinga.
h) Membasuh leher.
Membasuh leher semasa berwuduk seperti
melakukan urutan terapi saraf. Air yang terkena ke atas leher boleh menurunkan
suhu badan dan mengelakkan daripada demam dan sakit kepala.
i) Membasuh kaki hingga ke buku lali.
Apabila kita membasuh
kaki ianya dapat mengembalikan stamina seseorang. Juga membantu pertumbuhan
sel-sel otak dan secara terus mengalirkan darah ke seluruh badan. Mampu
merehatkan otak dan mencapai tahap tenang dan nyaman kerana semua urat yang
berhubungan dengan anggota badan terletak di kaki.
j) Tertib.
Segala rukun dan aturan membasuh anggota-anggota di dalam wuduk hendaklah
dilakukan dengan teratur, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian diakhirkan.
Jika
kita berjaya menghayati dengan memberi sepenuh perhatian dan mengetahui hikmah
di sebalik setiap sapuan air ke anggota-anggota wuduk, nescaya kita mendapat
kesihatan yang sangat baik dalam kehidupan kita di dunia.
Ketahuilah
setiap sapuan air ke anggota wuduk itu akan menggugurkan dosa-dosa kecil
seperti dosa mendengar perkara yang melalaikan dan sia-sia. Selain itu juga
anggota-anggota wuduk akan bercahaya semasa di akhirat nanti kesan daripada wuduk
sempurna yang dilakukan oleh seseorang.
Berwuduk
mempunyai banyak kelebihan dan rahsia yang tersirat. Kita bukan semata-mata
membasuh anggota-anggota wuduk malah sebenarnya ia adalah proses ke arah
menjadikan jiwa kita bersih. Betapa pemurahnya Allah bilamana segala dosa-dosa
kita yang tidak kita sedari turut gugur bersama air wuduk. Kita sememangnya
tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan dalam hidup.
Kesalahan-kesalahan itu dapat dihindari dengan mengambil wuduk sekurang-kurangnya
lima kali sehari semalam. Natijahnya dosa-dosa kita akan diampunkan oleh Allah
setiap kali kita berwuduk.
Secara
saintifiknya seluruh badan kita juga akan bertambah sihat apabila air wuduk
dialirkan ke badan kita. Rawatan secara semula jadi ini juga adalah rahmat
Allah yang disediakan untuk hamba-Nya yang sering berwuduk. Kita mendapat
keuntungan dalam dua segi iaitu dari sudut jasmani dan rohani. Apabila
kedua-dua unsur ini mencapai tahap yang sempurna, lahirlah insan yang
disifatkan oleh Allah sebagai sebaik-baik makhluk.
3.2 Solat menurut perspektif Sains dan
kesihatan
Solat menurut
perspektif sains dan kesihatan bermula dari niat.
a.
Niat.
Niat
merupakan kata kunci kepada setiap ibadah yang ingin dilakukan. Tanpa niat yang
ikhlas kerana Allah semua amalan yang dilakukan akan tertolak dan tidak
mendapat nilaian di sisi Allah. Begitu juga jikalau niat sesuatu ibadah itu
dilakukan kerana selain daripada Allah, amalan sedemikian tidak diterima di
sisi Allah dan dikira sia-sia malah boleh mendatangkan syirik kepada-Nya.
Apabila
niat dilakukan betul hanya kerana Allah Taala, hati akan menjadi tenang dan
lapang serta menjadikan fikiran sentiasa bersifat positif. Seseorang itu
dibentuk oleh niat dan pemikirannya. Jika positif terbit daripada niat fikirannya
maka positiflah tindakan dan amalannya. Begitulah sebaliknya.
Niat
kerana Allah adalah pintu ke arah menjadikan rohani dan jasmani kita sihat.
Jika kita sering memikirkan tentang kesusahan akan sempit dan deritalah jiwa.
Jika kita lapang dan redha, tanpa keluh-kesah dengan segala ujian, di samping
menyerahkan diri kepada Allah. Jiwa kita menjadi kaya.
Apabila
jiwa dan fikiran rehat dan lapang secukupnya, secara tidak langsung
berbagai-bagai penyakit dapat dicegah tanpa memerlukan rawatan. Kerana berpunca
daripada pemikiranlah jiwa dan badan kita merana.
b.
Berdiri Tegak dan Takbiratul Ihram.
Semua pergerakan solat adalah memberi
kesihatan sangat banyak. Antaranya ialah semangat dan kekuatan kerana bukan
sahaja kita membaca ayat-ayat al-Quran tetapi juga kita berhubung dengan Allah
yang menciptakan manusia. Ketika solat kita memuji, menyanjung, memohon, berdoa
dan bermunajat kepada Allah. Sudah pasti Allah akan memperkenankan permintaan
hamba-Nya yang tulus ikhlas.
Doa-doa
dan lafaz di dalam solat adalah berupa wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada
Nabi Muhammad. Sumber wahyu yang mulia ini jika dibaca dengan penuh perasaan
akan menjadikan fikiran, jiwa dan tubuh badan berinteraksi dan wujud hubungan
dengan Allah. Tubuh badan kita akan menjadi lebih sihat dan jiwa kita akan
bersih daripada setiap gangguan syaitan dan unsur-unsur khianat. Ia juga
sebagai benteng kita daripada diganggu oleh anasir dengki dan ilmu ghaib.
Solat
membantu pertumbuhan antibodi dan membekal darah serta oksigen ke seluruh badan.
Antibodi yang dikeluarkan di dalam badan akan mampu melawan sel-sel penyakit
seperti virus dan bakteria di dalam tubuh. Otak yang lapang dan jiwa yang
tenang merangsang antibodi melawan dengan cepat terhadap virus penyakit.
Ketenangan semasa solat dibantu oleh lafaz suci bacaan zikir dan doa dapat
mengelakkan badan daripada dipengaruhi hawa nafsu yang didorong oleh syaitan.
Penyakit-penyakit ilmu hitam juga dapat dihindari.
Solat
juga adalah rangkuman gerakan dan regangan badan. Ia seperti senaman ringan
yang dilakukan sebagai rutin pada setiap awal pagi, menjelang tengah hari,
petang, awal senja dan malam hari. Regangan-regangan yang dilakukan di dalam
solat adalah merupakan kedudukan yang amat sempurna untuk menjaga kesihatan
tubuh badan.
Secara
saintifik, kejadian tubuh badan di antara lelaki dan wanita mempunyai gerakan
dan kedudukan yang berbeza di beberapa tempat di dalam solat. Ini kerana
struktur tubuh lelaki dan wanita tidak sama. Perubahan posisi dan gerakan di
dalam solat merupakan aktiviti pemulihan seluruh anggota badan kita yang mampu
menghindarkan banyak penyakit.
c. Mengangkat Takbir
Semasa bertakbir, kita mengangkat
kedua-dua belah tangan. Secara tidak langsung menegangkan otot dada dan bisep
pada lengan. Diafragma udara juga akan terbuka dan oksigen memasuki badan
sebelum kita memulakan solat. Rongga dada seperti paru-paru mendapat bekalan
udara secukupnya dan membantu menyegarkan badan serta memulih tenaga tubuh.
Semasa
berdiri, seluruh kekuatan tulang akan dapat diperkuatkan. Tulang kaki menjadi
lebih stabil dan di posisi ini tulang di dalam badan sedang dalam keadaan
rehat. Pergerakan di dalam solat merupakan latihan gerakan ringkas bagi
pembetulan kedudukan tulang serta melancarkan pergerakan sendi.
d. Ketika Rukuk
Rukuk mempunyai hikmahnya tersendiri.
Semasa rukuk otot-otot betis dapat diregangkan serta menjauhkan daripada
penyakit kejang terutama di bahagian betis dan pangkal paha. Rukuk memberi
tekanan kepada dinding pembuluh darah di permukaan kedua-dua betis. Tekanan ini
menggerakkannya untuk proses pengaliran darah di urat betis bahagian sisi serta
menguatkan dinding urat-urat yang lemah.
Semasa
rukuk juga dapat menggerakkan kedua-dua lutut dengan menggerakkan tangan di
atas tempurung lutut dan menekannya serta dapat mendorong kedua-dua tempurung
itu ke belakang. Dengan cara ini peredaran darah akan lancar di dalam kedua-dua
tempurung ini. Semasa ditekan dengan tangan ke belakang, darah dan zat makanan
akan sampai ke bahagian tempurung. Kedudukan tulang belakang juga menjadi tegap
dan membantu proses pembetulan semula kedudukan tulang belakang.
e. Iktidal
Kedudukan iktidal adalah suatu posisi
yang sangat baik untuk otak. Pada masa iktidal otak akan mendapat oksigen
secara cepat setelah tunduk sedikit selepas rukuk. Pada masa ini tahap
ketenangan adalah tinggi berlaku di dalam otak. Badan menjadi normal setelah
otak berfungsi secara maksimum selepas itu.
f.
Sujud
Solat membantu pertumbuhan antibodi
dan membekal darah serta oksigen ke seluruh badan. Kebiasaannya oksigen dan darah
agak lambat sampai ke bahagian atas tubuh badan disebabkan daya graviti bumi.
Sujud dalam solat boleh mempercepatkan penghantaran darah dan oksigen kepada
bahagian dada, leher dan otak.
Seterusnya,
fungsi jantung ialah bergerak mengepam darah ke seluruh badan. Tugas
menggerakkan darah yang sukar ialah mengepam darah ke kepala. Apabila sujud
yang dilakukan semasa solat, jantung mudah mengepam darah ke seluruh anggota di
badan kerana tiada halangan graviti bumi. Sujud yang lama dapat menenangkan jantung
dan melancarkan pergerakan darah. Sujud seperti ini dapat menjernihkan darah di
paru-paru iaitu dengan membuang karbon dioksida dengan cepat dan
menggantikannya dengan oksigen serta membuka jalan pengaliran darah ke
paru-paru.
Sujud
dapat merehatkan hati kerana darah dapat mengalir lancar terus menerus. Keadaan
ini dapat mengurangkan penyakit jantung, lemah, pening, sesak dada, pengsan,
sesak nafas dan lain-lain. Proses pengosongan hawa panas juga berlaku terutama
pada anggota badan yang tertentu iaitu hidung, kening, kedua-dua tangan,
kedua-dua lutut dan kedua-dua kaki.
Gerakan
kedua-dua tangan dan penekanan ke tanah dapat menguatkan persendian tulang dan
melancarkan peredaran darah. Selain itu, dapat mewujudkan tekanan pada perut,
kedua-dua lutut dan kedua-dua kaki sehingga dapat menguatkan persendian pada
tulang tersebut sambil mengatasi daripada reput. Bahagian atas punggung terasa
ditarik dan diregang menjadikan otot atas belakang anjal dan sihat.
Semasa
sujud, tekanan darah akan menjadi kuat di bahagian kepala. Darah dialirkan
dengan cepat ke bahagian otak. Pada masa ini semua oksigen dan darah bertumpu
di bahagian sel-sel otak. Cara ini menambah kecergasan otak dan berupaya
memberi isyarat kepada badan dengan lebih pantas. Degupan jantung juga akan
bertambah apabila jantung berkedudukan terbalik dan melawan graviti bumi. Darah
lebih cepat dipam ke otak dan seluruh badan. Semua saraf kembali aktif dan
mempunyai tenaga tambahan dengan bantuan aliran darah yang pantas serta bekalan
oksigen yang mencukupi. Pelbagai penyakit juga dapat disembuhkan seperti sakit
jantung, lelah, demam dan kanser.
g. Memberi Salam
Semasa memberi salam, berlaku
regangan otot-otot di bahagian kepala dan leher. Ia membantu pergerakan
otot-otot leher secara sempurna. Ia juga mampu menjadikan bahagian kepala dan
leher lebih ringan semasa pergerakan serta udara juga dapat dibekalkan dengan
jumlah yang lebih banyak. Secara khususnya juga penyakit yang berpunca di
bahagian kepala dapat dirawat dengan regangan urat leher semasa memberi
salam. Kesimpulan, solat bukan sahaja
menjadi terapi kesihatan tubuh badan secara lahiriah malah menjadi kekuatan
rohani yang membuatkan diri kita sentiasa cergas dan bahagia.
PENUTUP
Ketetapan
waktu-waktu solat sebanyak lima kali sehari semalam adalah kala waktu yang
memberi manfaat yang banyak kepada manusia. Kita bukan sahaja dapat sentiasa
bertemu dengan Allah semasa solat malah kesihatan kita juga akan berada di
tahap yang terbaik. Tidak hairanlah ramai para ulama terdahulu berasa tidak
mencukupi dengan hanya menunaikan lima waktu solat fardu sahaja. Lantas mereka
menambahkan lagi dengan mengerjakan solat-solat sunat yang lain untuk mencapai
dan mengekalkan kenikmatan khusyuk solat. Dengan melaksanakan solat dengan khusyuk
akan memberi kesihatan yang baik kepada insan.
Terbaik jika dibentang dan dihayati dgn baik
BalasPadam