CARA PENYELESAIAN YANG BOLEH DIAMBIL OLEH GURU UNTUK MENYELESAIKAN ISU-ISU BERKAITAN DALAM PENDIDIKAN - FALSAFAH DAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA (EDUP 3013)


1.0          PENGENALAN
Penulisan akademik ini mengupas isu-isu falsafah dalam pendidikan. Antara perkara yang akan disentuh iaitu profesion dan profesionalisme. Melalui perspektif lain, standard prestasi antabangsa dan kepelbagaian potensi turut dikupas dalam penulisan akademik ini. Oleh yang demikian, masalah-masalah tersebut akan dihuraikan beserta dengan kaedah penyelesaian yang bersesuaian bagi para guru.

2.0          ISU-ISU FALSAFAH DALAM PENDIDIKAN
Pelbagai isu falsafah dapat dikesan dalam pendidikan terutamanya dalam kalangan para guru. Antara isu falsafah dalam pendidikan yang dapat dikesan iaitu tahap profesion dipersoalkan, desakan memenuhi Standard Prestasi Antarabangsa dan juga kemampuan memanipulasi kepelbagaian potensi murid. Walaupun terdapat pelbagai isu falsafah dalam pendidikan, hanya tiga yang paling ketara dan dominan yang dapat dikesan melalui masalah yang dilihat oleh umum. Definisi profesion dan profesionalisme perlulah diketahui sebelum mengupas lebih dalam mengenai profesionalisme keguruan. Merujuk Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2015), profesion merupakan pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan khas. Manakala profesionalisme pula merupakan sifat-sifat kemampuan, kemahiran, cara pelaksanaan sebagaimana yang sewajarnya terdapat pada atau dilakukan oleh seorang profesional.

2.1          TAHAP PROFESION GURU DIPERSOALKAN
Tahap profesion guru sering dipersoalkan oleh masyarakat terutamanya ibu-bapa dan penjaga yang terdapat di kawasan bandar. Perkara seperti ini berlaku apabila penduduk-penduduk di bandar lebih terdedah dan terbuka dengan pendapat dan saranan daripada pelbagai sumber seperti laman sesawang, hasutan orang dan juga faktor persekitaran. Hal ini berbeza dengan masyarakat yang menduduki kawasan luar bandar, mereka lebih menghormati para guru kerana guru dianggap sebagai sumber utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid. Akibat daripada ketidakcukupan wang mahu pun kedudukan geografi yang tidak strategik, ibu-bapa yang terdapat di luar bandar ini tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tuisyen apatah lagi mahu membelikan peralatan tulis yang lengkap untuk anak-anak. Terbuktilah bahawa profesion guru dominannya dipersoalkan oleh masyarakat yang terdapat di kawasan-kawasan bandar.
2.2          DESAKAN MEMENUHI STANDARD PRESTASI ANTARABANGSA
Umum mengetahui bahawa sistem pendidikan yang terdapat di Malaysia seringkali berubah akibat daripada pentadbiran kerajaan Malaysia yang kerap berubah demi menjamin sistem pendidikan yang menepati Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perkara ini membuatkan para guru kini mengharungi pelbagai desakan daripada pihak sekolah mahu pun Kementerian Pelajaran bagi memenuhi Standard Prestasi Antarabangsa.  Ramai warga pendidik tidak berpuas hati dengan pencapaian dalam pendidikan kini. Misalnya, melalui keputusan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) menunjukkan bahawa keputusan yang dicapai oleh pelajar-pelajar di Malaysia merundum berbanding dengan negara-negara maju yang lain seperti Hong Kong, Korea Selatan dan juga Singapura. Tambahan, lebih kurang 20% orang pelajar Malaysia gagal untuk mengecapi keputusan sasaran minimum TIMSS bagi mata pelajaran Sains dan Matematik merujuk kenyataan Kementerian Pelajaran Malaysia (2007). Para guru difahamkan bahawa sekiranya tiada usaha yang utuh dalam kalangan pendidik untuk meningkatkan prestasi murid-murid di sekolah, Malaysia akan mengalami kerunduman prestasi murid berbanding dengan negara-negara lain. Perkara ini menunjukkan bahawa terdapat banyak tekanan dan bebanan diterima oleh para guru.

2.3          KEMAMPUAN MEMANIPULASI KEPELBAGAIAN POTENSI MURID
Kemampuan memanipulasi kepelbagaian potensi murid dalam kalangan guru di sekolah-sekolah tidak wajar dipersoalkan oleh masyarakat mahu pun ibu-bapa kepada murid-murid di sekolah. Hal ini demikian kerana para guru yang terdapat di sekolah-sekolah tidak kira sekolah rendah mahu pun sekolah menengah mempunyai kemahiran yang mencukupi dalam memanipulasi kepelbagaian potensi murid. Kementerian Pelajaran percaya bahawa guru-guru boleh menyediakan pelbagai peluang pembelajaran yang akan menjamin pembelajaran yang efektif, termasuk penggunaan bahan-bahan yang berlainan serta tidak hanya fokus kepada buku teks semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini menunjukkan bahawa para guru berkemampuan untuk mengenal pasti potensi setiap murid yang terdapat di dalam kelas dengan lebih berbaik berbanding dengan ibu-bapa dan masyarakat yang hanya tahu menuding jari kepada pihak sekolah terutamanya para guru yang berhempas-pulas mengajar anak-anak murid dengan gemilangnya.

3.0          KAEDAH PENYELESAIAN ISU-ISU FALSAFAH DALAM PENDIDIKAN
Merujuk persoalan yang dinyatakan di dalam arahan tugasan kerja kursus ini, terdapat tiga permasalahan utama yang diajukan dalam penulisan iaitu cara penyelesaian yang boleh diambil oleh guru untuk menyelesaikan masalah tahap profesion yang dipertikaikan, desakan memenuhi Standard Prestasi Antarabangsa dan juga kemampuan memanipulasi kepelbagaian potensi murid. Merujuk konteks yang diajukan, saya mendapati bahawa terdapat tiga cara utama yang perlu diketengahkan dalam soal penyelesaian masalah falsafah dalam pendidikan. Antaranya adalah menerapkan amalan profesionalisme guru dalam diri setiap guru, memperkasa Standard Prestasi Antarabangsa dan juga mengenal pasti kepelbagaian potensi murid dengan baik.

3.1          MENERAPKAN AMALAN PROFESIONALISME GURU

Standard Guru Malaysia telah pun menetapkan amalan profesionalisme guru yang sewajarnya dipatuhi oleh setiap guru. Oleh yang demikian, para guru mestilah mengikuti domain-domain yang telah pun digariskan dalam Standard Guru Malaysia bagi mengatasi masalah tahap profesion guru yang sering kali dipertikai oleh pihak-pihak yang tidak sepatutnya mahu pun masyarakat seperti ibu-bapa dan juga penjaga kepada murid-murid. Merujuk Standard Guru Malaysia, terdapat tiga domain utama yang perlu ada dalam diri setiap guru iaitu domain diri, profesion dan juga sosial. Rajah 3.1 (a) menunjukkan domain-domain yang terkandung dalam Standard Guru Malaysia.

Rajah 3.1 (a) Domain-domain dalam Standard Guru Malaysia

            Sebagai seorang guru yang cemerlang, guru wajarlah mempunyai domain-domain di dalam diri yang positif. Hal ini demikian kerana amalan-amalan nilai dapat mewujudkan penampilan diri yang lebih berkeyakinan. Oleh yang demikian, isu seperti tahap profesion guru dipersoalkan  dapat dihindarkan dengan lebih mudah justeru para murid menjadikan guru sebagai idola utamanya. Rajah 3.1 (b) menunjukkan nilai-nilai yang ditekankan dalam setiap domain mengikut Standard Guru Malaysia.

Rajah 3.1 (b)  Nilai-nilai dalam Standard Guru Malaysia
         
          Sudah terbuktilah bahawa dengan adanya nilai-nilai mengikut Standard Guru Malaysia yang telah pun digariskan, para guru boleh menjalankan tugas sebagai guru yang profesional, mampu menjadi age sosialisasi justeru dapat menjadi modal insan buat masyarakat sekeliling serta persoalan tentang tahap profesional guru yang dipertikaikan dapat diselesaikan.

          Selain itu, Tafsiran Model Standard Guru Malaysia juga hendaklah dikuasai oleh setiap guru bagi mengecapi profesionalisme keguruan yang tepat dan benar. Rajah 3.1 (c) menunjukkan Tafsiran Model Standard Guru Malaysia yang perlu diamalkan dalam diri setiap guru di Malaysia. Huruf G di tengah-tengah bulatan model melambangkan guru yang dihasratkan oleh negara. Tiga lingkaran kecil yang saling bertindan melambangkan tiga aspek komplementasi yang perlu dikuasai oleh setiap guru. Lingkaran besar pertama merupakan keperluan utama yang disediakan oleh agensi dan institusi latihan keguruan. Glob di tengah-tengah lingkaran melambangkan kualiti guru bertaraf dunia yang dipertanggugjawab membangunkan modal insan berminda kelas pertama. Oleh yang demikian, bagi memenuhi kehendak masyarakat untuk menjadi guru yang mempunyai tahap profesion yang baik, Tafsiran Model Standard Guru Malaysia ini hendaklah dikuasai oleh setiap guru di Malaysia.

Rajah 3.1 (c) Tafsiran Model Standard Guru Malaysia



3.2          MENINGKATKAN PROFESIONALISME KENDIRI
Meningkatkan profesionalisme kendiri merupakan salah satu daripada cara untuk memartabatkan profesion keguruan kini. Umum mengetahui bahawa profesion guru sering kali dipandang tinggi oleh setiap masyarakat di Malaysia. Oleh yang demikian, sebagai seorang guru wajarlah menjaga martabat profesion keguruan daripada digugat oleh mana-mana pihak hanya dengan pertikaian tentang tahap profesion keguruan. Setiap guru bertanggungjawab untuk memartabatkan profesionalisme keguruan supaya tahap profesion keguruan tidak dipersoalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
            Antara langkah yang boleh dilakukan oleh para guru bagi mempertingkatkan tahap profesionalisme keguruan adalah mengadakan kursus peningkatan profesionalisme keguruan, membuat penyelidikan dalam penulisan, mengusahakan perkembangan kendiri dan juga sentiasa peka terhadap perkembangan pendidikan dan teknologi terkini. Rajah 3.2 (a) menunjukkan langkah-langkah untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme perguruan.















Rajah 3.2 (a) Langkah-langkah Mempertingkatkan Tahap Profesionalisme Perguruan
3.3          MEMPERKASAKAN STANDARD PRESTASI ANTARABANGSA

Guru memang akan terbiasa dengan desakan-desakan dan bebanan yang diberikan oleh pihak atasan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia. Antara bebanan yang diterima oleh para guru zaman kini merupakan desakan untuk memenuhi Standard Prestasi Antarabangsa. Standard yang ditetapkan oleh pihak kementerian ini semestinya tidak mampu dilaksanakan oleh sesetengah guru di Malaysia terutamanya mereka yang mengajar di kawasan luar bandar seperti pedalaman tahap satu sehinggalah ke tahap yang tertinggi. Oleh yang demikian para guru seyogianya mengetahui langkah-langkah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar selari dengan kehendak kementerian yang berdasarkan Standard Prestasi Antarabangsa. Rajah 3.3 (a) menunjukkan antara kaedah untuk mempertingkatkan pencapaian para murid.
Rajah 3.3 (a) Kaedah Meningkatkan Pencapaian Para Murid
           
            Berdasarkan rajah 3.3 (a), para guru hendaklah memastikan setiap murid berjaya serta menyediakan sokongan bagi murid yang ketinggalan. Pihak atasan hendaklah menetapkan akautabiliti kepada sekolah dalam melaksanakan perubahan ke atas pencapaian pelajar sebagai ganjaran kepada peningkatan pelajar. Guru hendaklah membuat pelaburan dalam pemimpin terbaik di setiap sekolah. Guru juga hendaklah meningkatkan daya tarikan keguruan dan menjadikan profesion keguruan lebih baik supaya dapat menghasilkan individu berkebolehan. Guru juga hendaklah membuat kajian tentang tokoh-tokoh supaya dapat menjadi yang lebih baik.
3.4          MENGENAL PASTI KEPELBAGAIAN POTENSI MURID
Mengenal pasti kepelbagaian potensi murid merupakan satu elemen yang sangat penting untuk dikuasai oleh setiap guru di Malaysia. Setiap pelajar mempunyai sifat unik dari segi perkembangan afektif dan kognitif, kematangan sosial, keupayaan, motivasi, aspirasi, minat dan potensi. Selain itu terdapat juga faktor lain seperti kepelbagaian daripada aspek kecerdasan, latar belakang sosial dan juga ketidaksamaan antara pelajar dengan kurikulum yang disediakan. Setiap kepelbagaian potensi pelajar ini hendaklah diketahui oleh setiap guru supaya segala kelebihan murid-murid dapat dikembangkan dengan lebih teratur. Kemahiran mengenal pasti kepelbagaian potensi murid ini semestinya mampu menyangkal dakwaan yang diberikan oleh masyarakat bahawa para guru tiada kemampuan untuk memanipulasi kepelbagaian potensi murid demi perkembangan murd itu sendiri.
            Para guru hendaklah menyediakan pelbagai peluang pembelajaran yang akan menjamin pembelajaran yang efektif termasuklah penggunaan bahan-bahan yang berlainan dan bukan hanya berfokuskan kepada buku teks. Para guru hendaklah cakna bahawa generasi Y dan Z lebih cekap dalam menggunakan paparan skrin yang boleh disentuh iaitu penggunaan gajet. Manakala bagi murid-murid yang berada di kawasan luar bandar, mereka lebih cenderung kepada pembelajaran di luar kelas seperti lawatan di luar kelas dan juga aktviti berkumpulan. Oleh yang demikian, para guru hendaklah lebih fleksibel dengan keadaan semasa serta guru hendaklah menyesuaikan diri dalam sebarang situasi tanpa mengira di kawasan bandar mahu pun luar bandar. Hal ini dapat mengelakkan isu falsafah dalam pendidikan berlaku dalam kalangan guru.
            Guru-guru mestilah pandai untuk menggunakan satu spektrum kecerdasan dan pengalaman multi-sensori untuk mencungkil kepelbagaian potensi murid. Oleh yang demikian, pemahaman yang mendalam terhadap kepelbagaian murid yang wujud sekarang bukan hanya dilihat pada tahap pembelajaran sahaja malahan guru-guru seharusnya memberikan pemerhatian yang teliti terhadap faktor-faktor kepelbagaian murid. Oleh yang demikian, guru tidak seharusnya memandang ini sebagai suatu masalah, tetapi melihatnya sebagai suatu sumber untuk menggalakkan pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Tidak lupa juga gandingan kerjasama antara badan-bdan pendidikan untuk menyelesaikan isu-isu falsafah yang terdapat dalam pendidikan diperlukan bagi mengatasi masalah ini.



            Bagi mengatasi isu falsafah yang dihadapi, terdapat dua langkah utama yang paling besar yang perlu diambil oleh pihak-pihak yang berkenaan. Rajah 3.4 (a) menunjukkan antara langkah mengembangkan kepelbagaian potensi murid.


Rajah 3.4 (a)  Langkah Mengembangkan Kepelbagaian Potensi Murid


4.0          RUMUSAN
Konklusinya, pada era globalisasi ini atau dunia tanpa sempadan telah memaksa industri pendidikan di Malaysia untuk melalui era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Selain itu, perkembangan pendidikan di Malaysia yang semakin pesat ini adalah hasil daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap perkembangan pendidikan dan persekolahan anak-anak mereka baik di peringkat pra sekolah, pendidikan rendah, menengah dan juga di institusi pengajian tinggi. Kesedaran tersebut adalah implikasi daripada kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi memajukan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin sengit.
Oleh itu, peranan-peranan daripada pihak pendidik, ibubapa, dan pelajar itu sendiri amatlah penting bagi menghadapi transformasi dunia tanpa sempadan ini. Akhir sekali, pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan masalah secara runcitan dan memberi tumpuan kepada aspek tertentu dan mengurangkan tumpuan kepada aspek lain akan menghalang pelaksanaan pendidikan kita terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri.

Ulasan

  1. Assalamualaikum cg, sy nk tnya mcm mna sy nk analisiskan isu-isu kepelbagaian potensi murid dalam pendidikan berdasarkan model kurikulum.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FRASA DAN BINAAN FRASA

KATA BANTU ; ASPEK & RAGAM

KEPENTINGAN BERBUDI BAHASA DALAM MASYARAKAT MALAYSIA