KONSEP DAN PERBEZAAN FONETIK DAN FONOLOGI (BMMB 3013)


1.0       PENGENALAN
Bunyi merupakan konsep penting sesuatu bahasa yang dipersetujui oleh sejagat ahli bahasa. Terdapat dua komponen utama linguistik deskriptif dalam aspek kajian bunyi dalam bahasa iaitu fonetik dan fonologi. Pelbagai teori, prinsip, konsep dan unsur-unsur linguistik dapat dikaji melalui bidang ilmu bahasa ini.
            Perkara utama yang menjadi fokus dalam kajian fonetik dan fonologi iaitu menganalisis selok-belok bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia dalam pertuturan serta fungsinya dalam sistem bahasa. Secara umumnya, fonetik meneliti bunyi bahasa menurut cara sebutannya dan sifat-sifat akustiknya manakala ilmu fonologi pula meneliti bunyi-bunyi bahasa tertentu mengikut fungsi, susunan dan strukturnya.

2.0       KONSEP FONETIK
Fonetik merupakan kajian terhadap bunyi fizikal percakapan manusia. Fonetik juga berkaitan dengan sifat fizikal bunyi atau dikenali sebagai fon serta proses penghasilan fisiologi, penerimaan auditori dan persepsi neurofizikal. Menurut Rahimah Haji Sabran dan Rahim Sham (1985), bidang fonetik mengkaji sistem bunyi-bunyi yang tertentu dalam pertuturan khusus bagi sesuatu bahasa. Menurut Arbak Othman (1983), fonetik ialah kajian tentang bunyi-bunyi ujar. Menurut Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006), fonetik merupakan kajian terhadap bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia. Bunyi bahasa bermaksud bunyi-bunyi yang digunakan dalam bahasa untuk tujuan komunikasi.
Menurut Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006) bahawa fonetik ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh manusia dan memberikan lambang kepada bunyi-bunyi tersebut. Lazimnya fonetik dikaji secara berasingan. Hal ini demikian kerana bidang fonetik amat rumit dan bersifat teknikal. Fonetik ialah ilmu yang mengkaji bunyi bahasa, iaitu ujaran atau pertuturan yang dihasilkan oleh manusia dengan mengecualikan bunyi seperti berdengkur, batuk, berdeham, bersiul dan sebagainya. Ruang lingkup fonetik merangkumi antara lain proses pertuturan atau penghasilan bunyi dan pengelasan. Kajian fonetik terbahagi kepada tiga cabang, iaitu; fonetik artikulasi, fonetik akustik dan fonetik auditori.


3.0       KONSEP FONOLOGI
Fonologi merupakan kajian terhadap pola bunyi bahasa iaitu tentang bunyi-bunyi yang berfungsi dalam sesuatu bahasa. Menurut Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006) dalam buku Bahasa Melayu STPM, fonologi merupakan cabang ilmu bahasa yang mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan fungsinya dalam sistem bahasa tersebut. Menurut Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006) menerusi bukunya yang berjudul Fonetik dan Fonologi, fonologi merupakan kajian tentang sistem bunyi bahasa. Sistem yang dimaksudkan adalah lambang yang mewakili setiap bunyi atau ujaran yang dihasilkan. Menurut Ali Mahmood (2010), fonologi ialah bidang yang mengkaji sistem bunyi yang diucapkan oleh manusia.
Sehubungan  itu  dengan  kata  lain,  fonologi  ialah  ilmu  tentang perbendaharaan  fonem  sesebuah  bahasa.  Dalam pengkajian fonetik, ahli bahasa mempelajari bagaimana bunyi-bunyi fonem sebuah bahasa direalisasikan atau dilafazkan. Fonetik juga mempelajari cara kerja organ tubuh manusia, terutama yang berhubungan dengan penggunaan bahasa. Rumusan bagi kesemua maksud fonologi seperti yang telah dibincangkan, fonologi sangat berkait rapat dengan fonetik. Kewujudan fonetik atau bunyi-bunyi bahasa yang menyebabkan manusia menjalankan kajian ke atas sistem bunyi ini dan hasil daripada kajian-kajian yang telah dijalankan, terciptalah lambang-lambang yang mewakili setiap bunyi bahasa.

4.0       PERBEZAAN FONETIK DAN FONOLOGI
Terdapat banyak perbezaan antara fonetik dan fonologi. Fonetik mengkaji bunyi bahasa dari segi cara pengeluarannya, daerah pengeluarannya dan sifat fizikalnya. Fonemik ialah cabang fonologi yang menitikberatkan analisis sistem bunyi sesuatu bahasa yang dikaji pada masa tertentu khususnya untuk menghasilkan sistem tulisan. Fonologi pula merupakan kajian tentang sistem bunyi sesuatu bahasa yang terhasil melalui mulut manusia. Fonologi lazimnya terbahagi kepada dua bidang iaitu fonetik dan fonemik.
Di Barat, kajian tentang fonologi telah bermula sejak awal tahun 1800 apabila para ahli bahasa memulakan kajian tentang perubahan bunyi bahasa dengan cara membandingkan bunyi bahasa yang wujud dalam pelbagai bahasa yang berkaitan. Namun demikian, penumpuan bidang fonologi moden lebih menekankan aspek sebutan dan seterusnya meneliti aspek fizikal artikulasi sebutan yang sebenarnya.

Fonetik pula bermaksud bidang yang mengkaji segala bunyi bahasa yang dihasilkan oleh alat-alat artikulasi manusia dan ia memberi lambang kepada bunyi-bunyi tersebut. Fonologi  ialah  satu  cabang  ilmu  yang  mengkaji  tentang  sistem  bunyi  yang diucapkan oleh manusia yang berfungsi atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami  oleh  kedua-dua  belah  pihak.
Secara umumnya, fonologi ialah satu cabang ilmu yang mengkaji tentang sistem bunyi yang diucapkan oleh manusia yang berfungsi atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami bahasa yang difahami oleh kedua-dua belah pihak. Fonetik pula bermaksud bidang yang mengkaji segala bunyi bahasa yang dihasilkan oleh alat-alat artikulasi manusia dan ia memberi lambang kepada bunyi-bunyi tersebut. Perbezaan antara kedua-dua bidang kajian ini dapat dijelaskan menerusi rajah 4.0 (a).

Fonetik
Fonologi
Fenomena bunyi atau pertuturan manusia seluruhnya.
Mengkaji sistem bunyi-bunyi tertentu dalam pertuturan bagi sesuatu bahasa.

Asas kepada kajian fonologi.
Input kepada kajian linguistik tinggi, iaitu morfologi dan sintaksis.
Tidak dapat memerikan seluruh bunyi yang dihasilkan oleh manusia, tidak dapat menghalusi segala variasi bunyi tersebut dan tidak dapat menghuraikan sistem bunyi semua bahasa yang dituturkan oleh manusia dengan sempurna.
Dapat merumuskan, menghuraikan dan menjelaskan segala bentuk bunyi dalam sesuatu bahasa secara teliti dan terperinci dengan tujuan untuk menentukan peraturan dan bentuk bunyi secara spesifik.

Rajah 4.0 (a) Perbezaan Fonetik dan Fonologi





5.0          ALAT-ALAT ARTIKULASI DAN ARTIKULATOR
Artikulasi merupakan alat pertuturan yang terlibat dalam proses pengeluaran bunyi-bunyi bahasa. Alat artikulasi terbahagi kepada dua bahagian iaitu artikulator dan daerah artikulasi. Artikulator pula merupakan bahagian alat pertuturan yang boleh digerakkan seperti lidah, bibir dan gigi bawah yang terletak di bahagian bawah rongga mulut. Daerah artikulasi termasuklah gigi atas, gusi, lelangit keras dan lelangit lembut. Bahagian alat pertuturan ini terletak di atas rongga mulut yang tidak boleh digerak-gerakkan dan hanya dapat didekati atau disentuh dalam proses pengeluaran bunyi-bunyi bahasa. Rajah 5.0 (a) menunjukkan alat-alat artikulasi dan artikulator.




Rajah 5.0 (a)  Artikulasi dan Artikulator



            Terdapat pelbagai fungsi yang boleh dipelajari melalui kajian terhadap artikulasi dan artikulator. Rajah 5.0 (b) menunjukkan tentang  alat-alat artikulasi berserta fungsinya yang tersendiri.


ALAT ARTIKULASI
FUNGSI
BIBIR
-       Menyekat perjalanan udara.
-       Boleh dihamparkan [ i ] dan dibundarkan [ u ].
-       Membuat sekata kepada udara keluar daripada rongga mulut.
LIDAH
-       Bahagian hadapan, tengah dan belakang lidah penting dalam pengeluaran bunyi-bunyi vokal, iaitu; vokal hadapan, vokal tengah dan vokal belakang.
-       Hujung lidah digerakkan untuk menyekat perjalanan udara.
GUSI
-       Sebagai daerah artikulasi iaitu daerah penyebutan.
-       Membuat bunyi seperti [ t ], [ d ] dan [ l ] dengan bantuan hujung lidah untuk membuat penyekatan.
LELANGIT
-       Lelangit keras-juga sebagai daerah artikulasi.
-       Lelangit lembut-menentukan sama ada bunyi itu sengau atau tidak.
-       (Apabila diturunkan, bunyi yang keluar adalah bunyi sengau. Apabila dinaikkan, bunyi yang keluar bukanlah bunyi sengau).
ANAK TEKAK
-       Alat pertuturan berfungsi seperti lelangit lembut.
GIGI
-       Menahan udara daripada bebas keluar dari rongga mulut.
RONGGA
-       Menjadi tempat laluan udara yang keluar dari paru-paru.
PITA SUARA
-       Menentukan sesuatu bunyi tersebut bersuara atau tidak.
RAHANG
-       Berperanan dalam pembunyian bunyi vokal.

Rajah 5.0 (b)  Fungsi Alat-alat Artikulasi


6.0         FONEM
Fonem merupakan sebuah istilah linguistik dan merupakan gabungan terkecil dalam sebuah bahasa yang masih boleh menunjukkan perbezaan makna. Fonem berbentuk bunyi. Contohnya, dalam bahasa Melayu bunyi [k] dan [g] merupakan dua fonem yang berbeza, seperti dalam perkataan "cagar" dan "cakar". Tetapi dalam bahasa Arab, hal ini tidaklah begitu. Dalam bahasa Arab hanya ada fonem /k/. Terdapat pelbagai jenis fonem dalam bahasa Melayu. John Lyons (1968), Peter Ladefoged (1975), Gleason (1961), Hill (1958) mengatakan bahawa fonem dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu fonem segmental dan fonem suprasegmental.

6.1       FONEM SEGMENTAL
Fonem segmental atau bunyi penggalan merujuk kepada proses mengeluarkan unit linguistik daripada ujaran atau teks yang berurutan. Fonem ini dapat dianalisis kewujudannya. Fonem segmental dapat dibahagikan kepada vokal dan konsonan. Perbezaan antara vokal dan konsonan hanya terletak pada ada atau ketiadaan halangan ketika bunyi-bunyi itu difonasikan. Sekiranya bunyi itu mendapat halangan ketika difonasikan, maka fonem itu disebut sebagai konsonan misalnya / b, d, g, h, k, l,/ dan sebagainya. Jika bunyi itu keluar secara leluasa ketika difonasikan, maka bunyi tersebut digelar vokal misalnya, / a, i, u, /. Sebagai contoh, apabila disegmenkan atau dipenggal, maka perkataan / #makan# / terbahagi kepada fonem-fonem berikut, iaitu /m/, /a/, /k/, /a/, /n/.

6.1.1    ARTIKULASI VOKAL
Vokal merupakan bunyi yang disebut apabila tiada halangan pada alat artikulasi. Bunyi vokal yang dihasilkan tidak melibatkan sebarang sekatan pengaliran udara. Bunyi vokal juga dikategorikan sebagai bunyi bersuara. Klasifikasi bunyi vokal ditentukan dengan kedudukan lidah dan bentuk bibir. Hal ini melibatkan rongga mulut semasa melafazkannya. Bentuk bibir dan saiz rongga mulut meentukan sama ada bunyi vokal yang dilafazkan itu dalam keadaan terbuka, separuh ter buka, separuh sempit ataupun luas. Rajah 6.1.1 (a) menunjukkan kedudukan artikulasi vokal. Rajah 6.1.1 (b) pula menunjukkan bentuk bibir yang terlibat semasa penyebutan fonem-fonem vokal. Rajah 6.1.1 (c) menunjukkan cara menggunakan artikulasi vokal.










VOKAL DEPAN

-       Vokal  depan  ialah  bunyi  [  i  ],  [  e  ],  [  ɛ  ]  dan  [  a  ]. 
-       Alat artikulasi yang  terlibat  dalam menghasilkan  bunyi  ini  ialah  lidah,  saiz  rongga  mulut  dan  bibir. Manakala daerah artikulasi yang terlibat ialah lelangit keras.
-       Vokal depan dapat dibahagikan kepada empat iaitu vokal depan s empit [ i ], vokal separuh sempit [ e ], vokal depan separuh luas [ ɛ ], dan vokal depan luas [ a ].
VOKAL BELAKANG

-       Vokal belakang terdiri daripada bunyi [ u ], [ o ],
[ ɔ ] dan [ D ].
-       Alat artikulasi yang terlibat semasa menghasilkan bunyi vokal ini ialah lidah dan lelangit lembut.
-       Rongga mulut dan saiz bukaan mulut menentukan kadar bukaan luas.
-       Daerah artikulasi yang terlibat pula adalah lelangit keras.
-       Vokal belakang boleh dikategorikan kepada vokal belakang sempit [ u ], vokal belakang separuh sempit [ o ], vokal belakang separuh luas [ ɔ ] dan vokal belakang luas [ D ].
VOKAL TENGAH
[ ɜ ]
-       Vokal tengah dihasilkan dengan meletakkan lidah pada lantai rongga mulut. Bibir terbuka tetapi tidak luas.
-       Udara melalui rongga mulut menghasilkan bunyi vokal [ ɜ ]. Contoh penggunaan vokal [ ɜ ] ialah
[ # ɜma? # ] (emak) dan [ # lɜbah # ] (lebah).
-       Keadaan bibir terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu neutral, hampar dan bundar.
                                                                     
Rajah 6.1.1 (c) Penerangan Artikulasi Vokal



6.1.1.1     ARTIKULASI DIFTONG
Bunyi diftong ialah dua bunyi vokal yang disebut secara berterusan iaitu dalam satu hembusan nafas dan semasa menghasilkannya terdapat ciri geluncuran. Rajah 6.1.1.1 (a) dan rajah 6.1.1.1 (b)  menunjukkan artikulasi diftong dan penerangannya.

           


Rajah 6.1.1.1 (a) Artikulasi Diftong



Diftong [ai]

-       Bunyi ini  dapat  dihasilkan  dengan  kedudukan  lidah  sebagaimana  menghasilkan vokal hadapan luas [ a ] dan secara cepat digeluncurkan ke arah membunyikan vokal hadapan sempit [ i ].
-       Hujung lidah pula dinaikkan tetapi tidak setinggi sebagaimana membunyikan vokal [ i ].
-       Hujung lidah terkena gigi bawah dan pita suara digetarkan.
-       Bibir agak terhampar dan buka antara rahang adalah antara luas dan sederhana.
Diftong [au]

-       Bunyi ini dihasilkan dengan kedudukan lidah sebagaimana menghasilkan  vokal  hadapan luas  [a]  dan  secara  cepat  digeluncurkan  ke  arah  membunyikan  vokal  belakang  tertutup  [u].
-       Walaubagaimanapun,  bahagian  belakang  lidah  ini  tidak  setinggi  sebagaimana  membunyikan  vokal  [u].
-       Apabila hampir kepada selesainya lafaz bunyi ini, bentuk bibir menjadi bundar.
-       Hujung lidah hampir-hampir menyentuh gigi depan bahagian bawah dan buka antara rahang antara sederhana dan luas.
Diftong [oi]
-       Bunyi ini dihasilkan dengan kedudukan lidah mula menggeluncur pada posisi vokal belakang separuh tertutup [o] dan secara cepat digeluncurkan ke arah bunyi vokal depan sempit [i].
-       Hujung lidah pula dinaikkan tetapi tidak setinggi sebagaimana membunyikan vokal [i].
-       Pembukaan rahang semasa lafaz ini adalah luas. Contoh bunyi ini dalam bahasa Melayu ialah [ # sɜpoi # ] (sepoi) dan [ # amboi #]


Rajah 6.1.1.1 (b) Penerangan Artikulasi Diftong



6.2       FONEM SUPRASEGMENTAL
Fonem suprasegmental merupakan bidang kajian yang mengkaji bunyi-bunyi yang mengiringi bunyi-bunyi segmental dalam ujaran. Fonem suprasegmental juga merupakan fonem-fonem yang tidak boleh dipisahkan daripada fonem-fonem yang ditumpanginya. Iaitu fonem yang kewujudannya harus bersama-sama dengan fonem segmental. Fonem suprasegmental bersifat fonemik iaitu bersifat bunyi. Terdapat beberapa ciri suprasegmental iaitu tekanan dan kelantangan, intonasi, tempo, rima, mora dan juga jeda.

6.2.1    TEKANAN /’ /
Menunjukkan kelantangan sesuatu kata yang menandakan kearas atau lembutnya penyebutan sesuatu suku kata tersebut. Dilambangkan oleh tanda /’ / dan diletakkan di atas suku kata yang menerima tekanan. Dalam Bahasa Melayu, tekanan tidak membezakan makna perkataan. Contohnya, /buda?’/

6.2.2    NADA
Kadar meninggi atau menurun pengucapan sesuatu suku kata atau perkataan . Ditandai oleh nombor-nombor 1 (rendah), 2 ( biasa), 3 (tinggi) dan 4 (tinggi sekali). Contohnya; 2 3 Saya hendak balik, Dalam Bahasa Melayu nada tidak mempunyai sifat-sifat bunyi seperti penghasilan sesuatu fonem.

6.2.3    JEDA #
Juga disebut persendian, iaitu unsur hentian yang memisahkan antara unsur linguistik, sama ada perkataan, ayat atau rangkai kata. Dilambangkan oleh # dan boleh membezakan makna, contohnya:-  (#saya makan nasi ema?#) adalah berbeza maknanya dengan (#saya makan nasi ema?)



6.2.4    PANJANG PENDEK [:]
Kadar panjang atau pendek sesuatu bunyi yang diucapkan dilambangkan oleh [:] yang dinamakan mora [:], bererti panjang sesuatu perkataan itu satu mora. [: :] menunjukkan dua mora dan [.] adalah setengah mora. Dalam Bahasa Melayu, unsur ini tidak membezakan makna. 

7.0       RUMUSAN
Bahasa berasal daripada bunyi-bunyi yang disebut sebagai bunyi bahasa. Bahasa yang dihasilkan dengan menggunakan alat artikulasi manusia dipanggil sebagai pertuturan, percakapan atau ujaran kalimat yang merupakan salah satu daripada sistem bunyi yang teratur serta pencantuman bunyi yang hadir secara berturutan dan berulang-ulang.
            Bidang fonetik dan fonologi ini merupakan bidang kajian bunyi. Fonetik dan fonologi merupakan bidang yang mengkaji mengenai bunyi bahasa. Fonetik pula merupakan bidang yang mengkaji tentang pembentukan bunyi bahasa manakala fonologi merupakan bidang kajian yang mengkaji mengenai bunyi bahasa serta mempunyai sistem dan peraturan yang terdapat dalam sesuatu bahasa.
            Bidang fonetik adalah bidang yang mengkaji fenomena bunyi bahasa manusia sejagat serta bidang ini juga mengkaji bunyi dari segi sifat bunyi itu, cara pengeluarannya dan juga aspek pendengarannya. Menurut Henderson, bidang fonologi perlu diasingkan daripada bidang fonetik memandangkan bidang fonetik tidak merangkumi pemerian seluruh bunyi yang dihasilkan oleh manusia.
            Fonetik auditori, fonetik akustik dan juga fonetik artikulasi merupakan antara cabang bidang fonetik. Fonetik artikulasi mengkaji tentang bunyi-bunyi bahasa dihasilkan. Bunyi-bunyi yang terhasil daripada udara keluar daripada paru-paru kemudian lalu pada pita suara sehingga boleh menentukan keadaan bunyi itu sama ada nyaring, kuat, perlahan atau sebagainya. Selepas itu, udara keluar melalui rongga iaitu rongga tekak, rongga mulut atau rongga hidung bagi mewujudkan gema dan seterusnya bunyi-bunyi bahasa.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FRASA DAN BINAAN FRASA

KATA BANTU ; ASPEK & RAGAM

KEPENTINGAN BERBUDI BAHASA DALAM MASYARAKAT MALAYSIA