KOMUNIKASI LISAN YANG BERKESAN


1.0) PENGENALAN
Dalam menjalani kehidupan seharian kita,kita tidak dapat mengelakkan diri dari berkomunikasi. Berkomunikasi merupakan satu rutin yang wajib berlaku dalam aktiviti seharian kita. Pada zaman teknologi yang maju dengan begitu pesat dan mendadak ini, selain berbicara dari mata ke mata,iaitu berhadapan antara satu sama lain,pelbagai alat digunakan untuk berkomunikasi seperti telefon bimbit yang menggunakan pelbagai perisian seperti whatsapp ,instagram ,facebook ,telegram dan sebagainya. Perbualan dengan berdepan dengan orang yang kita berkomunikasi juga pada masa kini adalah suatu yang biasa walau jarak beribu batu dengan adanya webcam , dan menggunakan perisian seperti Skype pada masa yang sama.
              Sebagai pemula bicara, komunikasi terbahagi kepada dua kategori iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan. Komunikasi lisan bermaksud suatu yang dicakap. Ringkasnya, komunikasi lisan merupakan suatu mesej yang disampaikan dengan kata-kata. Komunikasi lisan  berkenaan dengan apa yang kita katakan. Manakala komunikasi bukan lisan pula, menurut Dr.Albert Mehrabian ialah tindakan komunikasi selain dari bercakap, seperti riak muka, tangan, lengan, kedudukan badan, posisi badan, serta pelbagai pergerakan yang dilakukan oleh badan atau kaki dan tangan.
               Topik ini penting untuk diketahui dengan mendalam kerana umumnya kita salah faham dengan menganggap bahawa apa yang kita ingin sampaikan sudah difahami dengan betul, walhal ianya tidak sampai, mungkin kerana berlaku salah faham disebabkan cara kita berkomunikasi.Lebih merbahaya lagi apabila cara kita berkomunikasi mendatangkan kemarahan orang lain walaupun itu bukanlah tujuan kita, namun ianya disebabkan kekurangan diri kita yang tidak tahu cara untuk berkomunikasi dengan betul. George Bernard Shaw berkata, ”Masalah terbesar ialah sangkaan bahawa komunikasi itu telah pun mengambil tempat”.
                Maka, dengan itu penulisan ini akan memberi fokus kepada komunkasi lisan dan bukan lisan dalam pelbagai konteks yang berbeza, penggunaan teknik berkomunikasi yang sesuai dan betul mengikut situasi bagi menyampaikan makna yang betul, serta perbincangan tentang penggunaannya secara mendalam  dari pelbagai aspek.
               Mutiara daripada Rollo May berbunyi, ”Komunikasi membawa keada komuniti, iaitu memahami, merapatkan hubungan dan mencapai persefahaman.. Berdasarkan kata-kata hikmah ini, kita dapat mengetahui bahawan kepentingan mengetahui berkenaan kedua-dua jenis komunikasi ini, agar apabila kita berkomunikasi, perkara yang kita ingin sampaikan dapat disampaikan dengan baik, serta apabila digunakan untuk tujuan yang baik, akan membawa kepada persefahaman agar kita dapat hidup bersama dalam  keadaan aman dan harmoni sebagai sebuah komuniti.

Komunikasi lisan terdiri daripada komunikasi terbuka. Maka permulaan berkomunikasi dengan seseorang amat penting dalam hubungan yang lebih lanjut dalam tempoh yang lebih panjang. Perhatian penuh perlu diberi pada beberapa minit pertama semasa kali pertama berkomunikasi dengan seseorang. Penggunaan kata-kata yang baik dan positif sangat mempengaruhi dan mampu membina hubungan yang erat dengan seseorang. Seterusnya ialah teknik mendengar. Seorang pendengar yang baik mampu menggunakan komunikasi lisan dengan efektif kerana memahami dengan baik apa yang diperkatakan serta dapat memberikan respon yang betul. Kemudian ialah menanyakan soalan. Tujuan menanyakan soalah ialah untuk mendapat maklumat, menguji kefahaman, memulakan tutur bicara, menunjukkan minat pada seseorang ataupun cuba untuk mendapatkan sokongan atau persetujuan dalam sesuatu perkara. Terdapat dua jenis soalan iaitu soalan terbuka dan soalah tertutup. Soalan tertutup memerlukan jawapan ya atau tidak manakala soalah terbuka jawapannya memerlukan huraian. Gunakan jenis soalan yang sesuai semasa bertanya.
                     Seterusnya ialah rumusan. Merumuskan semula perbincangan dengan menyatakan isi-isi penting semasa berbincara membantu perbualan agar pihak yang terlibat dalam komunikasi itu jelas perbezaan persetujuan atau perbezaan berkenaan sesuatu perkara yang dibincangkan. Akhir sekali ialah untuk menamatkan proses komunikasi. Cara menamatkan komunikasi itu penting dan akan memberi suatu impak sama ada baik atau buruk proses komunikasi yang telah berlaku. Kita boleh melihat tanda-tanda seseorang itu ingin menamatkan komunikasi dengan melihat pada jam, tidak melihat pada mata kita, melihat tempat lain atau postur badan kelihatan tidak ingin meneruskan proses komunikasi. Maka, kita gunakan cara yang sesuai untuk menamatkan komunikasi itu agar komunikasi dengan seseorang itu akan lebih mudah di masa depan. Seseorang yang pandai memulakan dan menamatkan proses komunikasi lisan akan disenangi oleh semua orang.
                     Kita perluah menegur seseorang dengan cara yang baik agar mereka berasa senang dengan kehadiran kita serta selesa dengan kemunculan kita dalam proses komunikasi tersebut. Antara cara yang biasa digunakan semasa bertegur sapa ialah bersalamanan, tegur secara ringkas sambil melihat seseorang itu pada matanya. Apabila menegur seseorang, perkara yang paling penting ialah menunjukkan bahawa kita mengambil berat tentang keadaan seseorang yang ditegur itu. Perkara ini boleh dilakukan dengan cara memuji seseorang seperti memuji fesyen seseorang ataupun  aksesori yang dimilikinya seperti telefon bimbit, cermin mata , cincin atau beg. Seterusnya apabila perbualan itu berjalan dengan lancar, kita boleh pula bertanya berkenaan ahli keluarganya, seperti sambutan peristiwa penting dalam keluarga, pertunangan, perkahwinan dan sebagainya. Sekiranya dia baru pulang dari suatu acara seperti melancong, atau pergi ke upacara-upacara menarik, maka kita bertanyakan kepadanya mengenai perkara menarik yang dialaminya semasa menghadiri acara tersebut.
                Akhirnya, kita disarankan bertanya pendapatnya tentang beberapa perkara seperti berita yang terbaru yang masih hangat seperti keputusan perlawanan bola. Maka dengan mendengar seseorang itu menceritakan pandangannya, apabila kita mendengar dengan tekun, ianya akan meninggalan impak yang baik dalam dirinya berkenaan kita. Perkara ini akan merapatkan hubungan kita dengan orang tersebut. Namun,apabila perkara ini terlalu kerap dilakukan, kesannya akan kurang efektif.
               Apabila kita bertemu dengan seseorang, adakalanya kita ingin mengetahui dengan lebih mendalam berkeneaan seseorang itu. Namun, ada kes-kes yang mana seseorang itu terlalu malu dan segan lalu tidak menegur seseorang yang ingin dikenali itu. Walaubagaimanapun, sekiranya kita ingin mengenali seseorang atau kita melihat tanda-tanda bahawa seseorang itu ingin berkenalan dengan kita, maka kita sebaiknya menegur seseorang tersebut, dengan cara yang mesra dan baik. Kaedah yang disarankan ialah memulakan perbualan dengan bertanya khabar atau melakukan lawak jenaka yang ringkas tetapi kena dengan keadaan. Kita tidak seharusnya memonopli perbualan dengan cara kita saja yang bercakap.
            Seterusnya,  kita belajar menjadi seorang yang berperwatakan seperti seorang sukarelawan. Sentiasa menawarkan diri kita untuk membantu seseorang apabila diperlukan. Namun kita harus tahu hadnya apabila seseorang itu menolak dengan baik bantuan yang ditawarkan. Ini akan memperbaiki dan menguatkan lagi keberkesanan hubungan sesama manusia dalam berkomunikasi. Hatta, kalau kita berbuat baik kepada haiwan jinak sekalipun, mereka akan ingat perbuatan baik kita seperti memberi makan kepada kucing atau membela haiwan-haiwan lain.
            Kemudian, dalam perhubungan dan komunikasi di tempat kerja contohnya, kita perlu mendapatkan kepercayaan dan rasa hormat-menghormati sesama pekerja. Seringkali dalam hidup, kita terlalu ego untuk meminta pandangan orang lain berkenaan masalah kita. Maka inilah masanya kita mengubah diri kita untuk menjadi seorang yang lebih baik.  Caranya ialanya dengan meminta nasihat serta pandangan daripada rakan sekerja kita, Terdapat dua kelebihan apabia kita melakukannya iaitu pertama,  kita mendapat jawapan bagi masalah yang kita alami, dan kedua ini menunjukkan bahawa kita mengakui kepandaian seseorang dalam memberi pandangan dan memberi impak kepadanya bahawa kita menghormatinya selaku seorang yang difikirkan tahu jawapan kepada masalah yang kita alami.
          Selain itu, kita boleh juga melibatkan diri kita dalam persatuan bukan kerajaan (NGO) yang begitu banyak terdapat di negara kita. Kelebihannya ialah kita dapat melatih kemahiran sosial kita untuk berinteraksi dengan pelbagai jenis manusia yang mempunyai pelbagai ragam serta manusia dari pelbagai tempat, yang mempunyai perbezaan bangsa, agama, fahaman politik, gaya hidup, cara berkomunikasi, bahasa yang digunakan serta cara mereka menyampaikan sesuatu dalam mereka berkomunikasi dengan kita.
            Rajah 1.0 menunjukkan ciri-ciri komunikasi lisan yang berkesan.




Rajah 1.0 : Ciri komunikasi lisan yang berkesan

1.2) KOMUNIKASI BUKAN LISAN YANG BERKESAN
Komunikasi bukan lisan berkait dengan gerakan badan,postur, kedudukan dan gerakan kaki badan kepala serta keseluruhan badan. Ianya digunakan untuk menyampai emosi atau menunjukkan sikap seseorang. Postur badan boleh menunjukkan tentang keadaan diri seseorang.Terdapat dua jenis postur iaitu postur terbuka dan postur tertutup. Postur tertutup iaitu menyilang tangan serta menyilang kaki boleh dilihat mengikut keadaan sama ada menunjukkan status atau keyakinan yang tinggi. Manakala postur terbuka seperti tanga disisi semasa berdiri  atau semasa duduk boleh menunjukkan seseorang itu tengah mendengar dalam keadaan lebih relaks dan bersedia untuk mendengar. Kontak mata ialah satu komunikasi bukan lisan yang sering dilihat dan diperhatikan semasa berbual. Kita boleh melihat mata seseorang sama ada dia sedang memberi perhatian ataupun tidak memberikan perhatian kepada kita. Cara seseorang itu memandang kita juga boleh menunjukkan perasaannya kepada kita. Ton,pitch , kelajuan, berhenti seketika, semasa bercakap-cakap juga memberi suatu mesej tertentu berkenaan keadaan dalam diri seseorang.
                  Terdapat jarak-jarak yang sesuai antara kita dengan orang yang kita berbual. Dengan kekasih jaraknya lebih dekat, dengan rakan dan sahabat sama atau berlainan jantina jaraknya adalah berbeza. Umumnya kita tahu perkara ini denga bersosial dan melihat apakah jarak yang biasanya digunakan dan diterima dalam masyarakat kitaBerkenaan dengan komunikasi bukan lisan pula, terdapat pelbagai petua dan tips yang perlu diketahui agar kita dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh orang lain dalam pelbagai keadaan serta dapat menyampai sesuatu mesej dengan menggunakan cara bukan lisan dengan lebih efektif. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan salah faham serta merapatkan lagi hubungan sesama subjek yang kita berkomunikasi.Untuk mendapatkan mesej yang betul dengan baik, kita perhatikan riak mukanya, matanya, pergerakannya dan posisi tubuh badannya, serta nada suaranya.
             Dengan sentiasa memerhatikan perkara-perkara yang disampaikan secara bukan lisan semasa berkomunikasi, kita akan lebih mahir dalam memahami maksud dan mesej yang ingin disampaikan serta dapat meningkatkan kemahiran kita dalam seni komunikasi bukan lisan. Antara perkara penting yang perlu diperhatikan ialah apabila kata-kata seseorang bercanggah dengan tingkah laku bukan lisannya. Selalunya apabila perkara ini berlaku, seseorang itu sebenarnya lebih bercakap benar dalam tingkah laku bukan lisannya. Contoh apabila seseorang itu mengatakan dia gembira, namun tingkahlakunya tidak kelihatan gembira, maka selalunya ia memberi mesej yang dia tidak gembira. Dalam keadaan ini, tipsnya ialah beri lebih perhatian pada tingkahlakunya semasa berbicara.
               Kemudian ialah memerhatikan intonasi suara semasa bercakap. Intosai yang kuat, nyaring, lembut, tinggi atau rendah boleh memberi banyak maklumat berkenaan seseorang itu. Intonasi suara boleh menunjukka yang seseorang itu sedang marah, bersemangat ataupun tidak beminat dengan perbualan itu. Maka, dari situ kita boleh belajar dengan menggunakan intonasi yang betul.
               Antara aspek utama dalam komunikasi ialah kontak mata. Seseorang yang mengelak dari bertentangan mata boleh dilihat sebagai seseorang yang cuba menyembunyikan sesuatu dari diketahui atau juga boleh dalam keadaan tertentu, sedang menipu. Walaubagaimanapun, kontak mata yang terlalu lama boleh menjadi suatu perkara yang menakutkan dalam proses komunikasi. Maka lakukanlah kontak mata dalam sela masa beberapa saat kemudian lihat pula pada tempat lain sepert persekitaran agar tidak menakutkan seseorang yang kita bercakap-cakap dengannya.
             Satu lagi cara yang baik ialah dengan bertanya pada seseorang untuk memastikan apa yang kita tafsir dan nilai itu betul. Contohnya apabila dia mengatakan dia sedang gembira, sedangkan tingkahlaku bukan lisannya memberi petanda-petanda bahawa dia sedang sedih. Maka kita boleh bertanya soalah seperti, ”Awak dalam keadaan baik?” atau ”Awak sedang sedihkah sekarang?”. Ini penting kerana boleh jadi seseorang itu sedang menunggu kita bertanyakan soalah itu padanya agar dia dapat meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya..
            Berdasarkan contoh ini, kita boleh mengaplikasikan penggunaan komunikasi bukan lisan dan digabungkan dengan komunikasi lisan dengan baik supaya hasilnya itu cemerlang. Contohnya ialah apabila kita melakukan pembentangan dalam kumpulan atau berbual dengan rakan-rakan di kedai makan. Kita harus pastikan kesemua pergerakan badan kita, kontak mata, postur badan, gerakan tangan, kaki, gerakan mulut kita dan juga intonasi suara itu digabungkan sebagai suatu kumpulan yang bertujuan untuk menyampai satu mesej utama seperti sedang bersemangat, gembira, bersungguh-sungguh, sedih, sedang memberi perhatian, tidak berminat atau marah.
             Seterusnya ialah sesuaikan komunikasi bukan lisan kita mengikut konteks keadaan. Contohnya ialah adakah situasi itu merupakan situasi formal atau pun bukan formal. Selain itu, dengan siapa kita berkomunikasi seperti ibu bapa kita, isteri, anak-anak, majikan kita, pekerja kita , rakan-rakan dan juga seteru kita. Perkara ini amat dititikberatkan agar tidak berlaku salah faham dalam memahami perkara dan mesej yang cuba disampaikan oleh kita semasa proses komunikasi berlaku.
           Rajah 1.1 menunjukkan ciri-ciri komunikasi bukan lisan yang berkesan.

Rajah 1.1 : Ciri-ciri bukan lisan yang berkesan

Ulasan

  1. Terima kasih. Artikel ini sgt membantu dlm penulisan kerja kursus saya :)

    BalasPadam
  2. dimana nak cari sumber rujukan yang ada dalam artikel ini??

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FRASA DAN BINAAN FRASA

KATA BANTU ; ASPEK & RAGAM

KEPENTINGAN BERBUDI BAHASA DALAM MASYARAKAT MALAYSIA