MORFOLOGI BAHASA MELAYU


1.0)      PENGENALAN

Bidang morfologi merupakan antara bidang yang sangat penting untuk dipelajari bagi menguasai Bahasa Melayu dengan lebih mendalam. Merujuk Kamus Dewan Edisi Ke-4 menjelaskan definisi morfologi sebagai kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi, terbitan dan pemajmukan. Morfologi juga sering dikaitkan dengan kajian tentang struktur dan bentuk sesuatu kata. Takrifan yang dibuat secara general menyatakan bahawa morfologi tertumpu kepada kata. Kata terbentuk daripada unsur yang dikenali sebagai morfem. Morfem membawa maksud unit yang terkecil dalam bahasa yang berfungsi untuk menjalankan tugas nahu atau fungsi gramatis. Morfem tidak dapat dipecah-pecahkan lagi kepada unit yang lebih kecil memandangkan morfem sendiri merupakan unit yang terkecil.
 Perkataan morfologi terlahir kerana wujudnya Istilah morphology  yang berasal daripada bahasa Latin iaitu ‘morphe’ yang bermaksud bentuk. Berdasarkan pandangan Nik Safiah Karim (1996), morfologi ialah satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan, struktur kata dan penggolongan kata. Struktur kata bermaksud susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang tulisan yang menjadi unit tatabahasa yang bermakna. Bentuk kata pula merupakan unit tatabahasa, sama ada bentuk tunggal atau hasil daripada proses pemngimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan kata pula merupakan proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain dalam kumpulan yang sama.
Menurut pandangan Abdullah Hassan (2006), morfologi didefinisikan sebagai bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan. Perkataan morfologi dipinjam daripada biologi yang bermaksud kajian tentang bentuk tubuh haiwan dan tumbuhan. Konsep ini diterapkan kepada bentuk perkataan bahasa manusia. Namun begitu, Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam (1985) menyatakan bahawa morfologi ialah satu bidang dalam kajian bahasa yang mengkaji tentang perkataan dan cara-cara pembentukannya.
Sehubungan itu, Siti Hajar Hj.Husin Abdul Aziz (1996) dalam bukunya Tatabahasa Bahasa Melayu ( Perkataan ) telah menyatakan teori morfologi yang tersendiri iaitu morfologi  satu cabang daripada ilmu linguistik  yang mengkaji soal-soal yang berkaitan dengan kemungkinan adanya perubahan kata, golongan kata, dan makna kata akibat daripada perubahan bentuk kata. Morfologi mengkaji selok-belok bentuk kata dan fungsi gramatik atau semantik perubahan kata itu. Beliau juga telah merumuskan bahawa morfologi adalah bidang mengkaji bagaimana morfem-morfem itu bergabung untuk membentuk ayat.
Menurut Kamarudin Hj.Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dan Arb’ie Sujud (1997) dalam buku Pengajian Melayu 1, Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa,  morfologi ialah disiplin ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata.Bentuk kata ini merujuk bentuk bunyi atau ujaran sesuatu kata itu. Manakala ahli bahasa juga iaitu  Leonard Bloomfield (1992)  dalam bukunya Language yang telah diterjemahkan oleh Alias Mahpol, Kamaruzaman Mahayiddin dan Noor Ein Mohd.Noor, menyatakan bahawa “Morfologi adalah konstruksi yang mengandungi bentuk-bentuk terikat antara konsituen-konsituennya. Morfologi meliputi konstruksi kata-kata dan bahagian kata”.
Secara generalisasinya, saya dapat simpulkan bahawa morfologi merupakan antara bidang yang sangat penting untuk dipelajari terutamanya bagi pengkaji-pengkaji bahasa Melayu kerana bidang morfologi mengkaji struktur, bentuk dan juga penggolongan kata. Morfologi mempunyai sistem dan peraturannya yang tersendiri serta unik dalam penstrukturan ayat berdasarkan proses pembentukan kata iaitu pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan dan pengakroniman serta proses penggolongan kata yang terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Kesemua aspek ini memainkan peranan yang penting dalam pembentukan ayat yang gramatis. Selain dapat memastikan penggunaan bahasa yang lebih berkesan dan cekap, bidang morfologi ini merupakan tunjang utama dalam kajian linguistik. Morfologi mengkaji struktur gramatikal perkataan, iaitu adanya perubahan kata, golongan kata dan makna kata akibat perubahan bentuk kata. Tanpa pengetahuan tentang morfologi, sukar untuk menghuraikan bahasa dengan mendalam dan terperinci terutama jika ingin menghuraikan dan menyelesaikan permasalahan mengenai bahasa Melayu.










2.0)  Konsep morfologi bahasa Melayu

Morfologi ialah bidang tatabahasa yang mengkaji perkataan dan cara-cara pembentukannya.  Menurut Nik Safiah Karim (1996), morfologi ialah satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan, struktur kata dan penggolongan kata. Struktur kata merupakan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang tulisan yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula merupakan unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Golongan kata ialah proses mengkategorikan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama. Konklusinya bolehlah dikatakan bahawa morfologi bahasa Melayu merupakan bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata dalam bahasa Melayu.
                  Morfem merupakan unit yang paling kecil dalam morfologi. Fungsi morfem iaitu membentuk perkataan. Dengan wujudnya kehadiran morfem, sesuatu perkataan mungkin terdiri daripada satu, dua atau lebih morfem. Sebagai contoh, perkataan ‘jual’ merupakan satu morfem, tetapi perkataan ‘terjual’ dan ‘menjualkan’ terdiri daripada dua dan tiga morfem, iaitu ‘ter + jual’ dan ‘men + jual + kan’. Perkara ini menunjukkan bahawa imbuhan juga merupakan morfem. Terdapat dua jenis morfem iaitu morfem terikat dan juga morfem bebas. Morfem terikat ialah morfem yang tidak dapat berdiri sendiri dan hanya wujud bersama-sama dengan morfem lain. Morfem bebas pula ialah morfem yang dapat berdiri sendriri dalam ayat. Oleh yang demikian,  kata dasar pula disebut sebagai morfem bebas.
                  Tidak semua morfem ialah perkataan tetapi semua perkataan ialah morfem. Perkataan merupakan unit bebas yang mempunyai makna dan dapat berdiri sendiri. Sebagai contoh, ayat Ini baju adik saya, terdiri daripada empat patah perkataan. Perkataan-perkataan ini dapat berdiri sendiri serta mengandungi makna, iaitu ‘ini’ bermaksud kata ganti nama tunjuk untuk menunjukkan tempat yang dekat, ‘baju’ merujuk kepada kata nama am bagi pakaian, ‘adik’ juga ialah kata nama am yang merujuk kepada seorang adik dan perkataan ‘saya’ pula merujuk kepada kata ganti nama diri orang yang pertama. Manakala morfem terikat tidak mengandungi makna dan tidak boleh berdiri sendiri seperti morfem bebas. Makna bagi morfem terikat hanya akan lahir apabila morfem tersebut diimbuhkan atau digabungkan dengan morfem bebas. Proses penyusunan dan penggabungan morfem ini perlu mematuhi peraturan sistem morfologi sesuatu bahasa. Proses-proses pembentukan perkataan mestilah melibatkan pengimbuhan terutamanya bagi morfologi bahasa Melayu.
                  Morf dan alomorf merupakan istilah-istilah yang penting untuk diketahui yang berkaitan dengan morfem. Misalnya, ayat  ‘Doktor itu sedang merawat pesakit itu sejak bertahun lamanya’,  terdiri daripada ‘doktor’, ‘itu’, ‘sedang’, ‘me’, ‘rawat’, ‘pe’, ‘sakit’, ‘itu’, ‘sejak’, ‘ber’, ‘tahun’, ‘lama’, ‘nya’,  iaitu sebanyak 13 morfem. Unit-unit morfem yang telah direalisasikan itu disebut sebagai morf, iaitu elemen dalam bentuk kata yang kita dengar dalam pertuturan. Contohnya, perkataan ‘merawat’ morfnya ialah ‘me + rawat’ dan ‘bertahun’ morfnya ialah ‘ber + tahun’. Jelaslah bahawa morf disebut sebagai satuan gramatikal terkecil yang didengar terikat. Kebiasaannya dalam pengajian bahasa Melayu, morfem terikat mempunyai sekurang-kurangnya satu alomorf. Misalnya morfem awalan ‘di-‘ hanya mempunyai satu sahaja alomorf iaitu ‘di-’ itu sendiri, sebaliknya morfem ‘me-‘ mempunyai enam alomorf, iaitu ‘me-’, ‘mem-’, ‘men-’, ‘meng-’, ‘meny-’ dan ‘menge-’.

Ulasan

  1. Terima kasih cikgu kerana memberikan nota yang bagus. Jangan lupa juga kunjungi blog saya iaitu
    dream2notes.blogspot.com

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FRASA DAN BINAAN FRASA

KATA BANTU ; ASPEK & RAGAM

KEPENTINGAN BERBUDI BAHASA DALAM MASYARAKAT MALAYSIA