PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT : MEMBENTUK GURU YANG MEMENUHI ASPIRASI PENDIDIKAN NEGARA


2.0)     PENULISAN AKADEMIK : PENGENALAN
Matlamat utama sesebuah negara iaitu membina negara bangsa yang berjaya. Sesuailah jika dirujuk melalui Kamus Dewan Edisi Kelima, negara bangsa merupakan negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembinaan negara bangsa pula merujuk kepada satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ dan perasaan ‘kekitaan’ dalam kalangan rakyat di dalam sesebuah negara (INTAN, 1980). Hal ini bermaksud bahawa mewujudkan sentimen sesuatu bangsa mahupun negara mampu melahirkan keperibadian yang utuh dan kukuh justeru mampu menjadi model utama bagi setiap negara yang membangun di dunia.
            Umum mengetahui bahawa negara Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Oleh yang demikian, agenda pembinaan negara bangsa menjadi lebih penting kepada negara kerana pembinaan negara bangsa mampu mengubah cara hidup rakyat. Misalnya, di Malaysia sendiri setiap kaum mempunyai perspektif tersendiri terhadap kaum yang lain dan perkara seperti ini masih lagi dipisahkan dengan panggilan bangsa Melayu, Cina, India dan bangsa yang lain. Rakyat Malaysia perlu tahu bahawa pemisahan sosial dalam kalangan kaum masih wujud walaupun perhubungan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia kelihatan baik pada dasarnya. Oleh yang demikian, kaedah yang optimistik perlulah diambil oleh setiap phak bagi menyelesaikan masalah seperti ini. Pendidikan merupakan wacana utama bagi mendekatkan lagi jurang antara kaum.
Merujuk John Dewey melalui buku Ismail Mustapa, pendidikan merupakan salah satu daripada proses pertumbuhan dan perkembangan. John Dewey sangat memandang pendidikan sebagai satu usaha untuk mengatur pengetahuan bagi menambahkan pengetahuan semula jadi yang ada pada seseorang individu. Jika merujuk perspektif yang lain, Michael Fullan pernah menyatakan dalam buku Amin Senin pula, pendidikan ialah bidang profesional yang dinamik, Asas pengetahuannya dalam setiap subjek dan disiplin akademik sentiasa berkembang. Begitu juga dengan kefahaman tentang bagaimana seseorang itu belajar tentang struktur dan prosedur yang menyumbang terhadap keberkesanan persekitaran pembelajaran yang merupakan medium penting dalam pembinaan negara bangsa.
            Sudah terang lagi bersuluh bahawa guru-guru merupakan wacana rakyat yang paling penting dalam melaksanakan inovasi dan transformasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran rakyat. Para pendidik perlu melakukan perubahan diri secara berterusan supaya mereka tetap proaktif dalam pendidikan. Melalui konteks ini, pembangunan profesional guru telah dijadikan sebagai satu komponen teras sebarang perubahan dalam pendidikan khususnya.


2.1)      DEFINISI PROFESIONALISME KEGURUAN
Profesionalisme ialah sifat-sifat (kemampuan, kemahiran, cara pelaksanaan sesuatu dan lain-lain) sebagaimana yang sewajarnya ter¬dapat pada atau dilakukan oleh seorang profesional. “Profesionalisme” itu sendiri berasal daripada perkataan “profesi” yang bermaksud suatu bidang pekerjaan. Menurut Philips (1991:43) memberikan definisi profesionalisme sebagai individu yang bekerja sesuai dengan standar moral dan etika yang ditentukan oleh pekerjaan tersebut.
            Merujuk Kamus Dewan Edisi Ke-4, ‘profesion’ merupakan suatu bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan latihan yang khas, pendidikan, kecekapan, kemahiran yang tinggi. Mok Soon Sang (1996) pernah menyatakan konsep profesionalisme sebagai suatu pekerjaan yang dilaksanakan oleh inividu yang mempunyai kelulusan dan latihan ikhtisas yang bermutu, dedikasi dan sebagainya. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, profesion keguruan merupakan pekerjaan yang berkaitan dengan peranan tugas, tanggungjawab, sifat dan kualiti guru. Profesion keguruan merupakan satu pekerjaan yang membawa bersama tanggungjawab, integriti dan akauntabiliti terhadap pelajar dan masyarakat.
            Amalan nilai dan akhlak yang terpuji hendaklah disematkan dalam profesion keguruan terutamanya pada perubahan sistem pendidikan yang semakin mencabar ini. Bagi menyediakan guru menjadi individu yang berguna serta mampu menyumbang kepada negara pada masa hadapan, penerapan nilai-nilai murni murni oleh guru kepada pelajar sangat penting. Misalnya para guru hendaklah menjadi kreatif serta inovatif dalam menyampaikan ilmu kepada para pelajar memandangkan pelbagai peranti boleh digunakan untuk mengembangkan lagi idea guru-guru mahupun para pelajar.

3.0)      ELEMEN UTAMA YANG PERLU ADA DALAM DIRI GURU PROFESIONAL
Terdapat banyak ciri guru profesional yang perlu ada dalam diri setiap guru. Seseorang guru endaklah mempunyai ilmu, berketrampilan dan mempunyai kemahiran dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Seorang guru juga perlulah mempunyai sahsiah ang boleh menjadi contoh teladan dan ikutan kepada golongan yang dipimpin iaitu para pelajar. Antara ciri sahsiah yang perlu dimiliki oleh seorang guru ialah peribadi mulia dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk menjayakan apa sahaja program (Md Sani et al., 2008 dalam Nor Hasnida Che Ghazali, 2014). Rajah 1 menunjukkan ciri sahsiah yang perlu dimiliki oleh seorang guru.

Rajah 2: Model guru yang professional

                   Selain daripada itu, guru yang profesional juga harusnya mempunyai enam konsep berikut iaitu berkemampuan terhadap amalan profesionalisme di dalam bilik darjah, menjalankan amalan profesional di sekolah, bertingkah laku secara profesional di dalam bilik darjah serta sekolah, bersikap tanggungjawab untuk meningkatkan profesion, menerima kursus latihan dan pendidikan pembangunan yang profesional dan bertanggungjawab sebagai agen reformasi masyarakat (Robiah, 2002 dalam Nor Hasnida Che Ghazali, 2014).

3.1) CIRI-CIRI GURU PROFESIONAL
Dalam perubahan sistem pendidikan yang semakin mencabar, profesion keguruan perlu menyediakan diri dengan amalan nilai dan akhlak yang terpuji. Secara umumnya, guru mesti mencintai profesion keguruan, mempunyai pengetahuan dalam bidang yang diajar, sanggup mendidik dan menunjuk ajar murid-murid, bersifat sabar, berkeperibadian mulia,mampu menghadapi cabaran dunia pendidikan dan sanggup bekerja tanpa mengira di bandar atau di luar bandar. 
                   Secara peribadi, guru mesti berfikiran terbuka, rendah diri, dan bersikap optimistik. Guru mesti sentiasa menunjukan contoh dan teladan yang utuh sama ada di dalam atau di luar kelas. Guru perlu mengajar kebertanggungjawaban murid-murid dan budi pekerti yang tinggi. Terhadap pelajar, guru mesti mempunyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain, mengajar  anak murid cara belajar, menganalisis dan berfikir secara kritis, menghubungkan “mata pelajaran” dengan kehidupan murid, kenal, hormati dan mempercayai murid-murid, menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid berfikir, mengalakan anak murid bertanyakan soalan mengenai pelajaran dan menghadiri dalam aktiviti-aktiviti yang murid terlibat seperti sukan tahunan sekolah dan persembahan dalam sekolah. Guru mesti bersikap adil terhadap muridnya untuk mengelak meluka hati murid dan menjejaskan hubungan antara murid-murid.  
                   Terhadap tugas mengajar pula, guru mesti mempastikan situasi ”guru mengajar murid belajar” wujud dalam kelas. Guru mesti merancang pengajaran terdahulu, memberi masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid. Guru juga perlu melakukan refleksi dan kritik kendiri, berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman. Selain itu, guru harus fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran. Secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa baru dan segar serta relevan.
                   Terhadap disiplin, selain menjadi seorang yang pakar dalam bidang yang diajar, guru perlu bersikap aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya. Guru mesti seorang yang mendahagakan ilmu., suka membaca, dan sudi menghadiri konferens, konvensyen, bengkel & seminar dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan. Guru harus menjadi peranan baik kepada murid-murid seperti menegur sapa dengan orang lain tidak mengira umur, jantina dan status seseorang dan berusaha menyertai unit-beruniform, persatuan dan kelab, sukan dan permainan. Rajah 1.1 menunjukkan antara ciri guru yang profesional.


         Rajah 2.1 : Ciri-ciri guru profesional

 

           

Manusia mengetahui bahawa pendidikan yang kita lalui digunakan sehingga ke akhir hayat. Hal ini sama maksudnya dengan pembelajaran yang dilakukan sepanjang hayat. Pendidikan kebiasaannya terbahagi kepada dua jenis iaitu pembelajaran secara formal dan pembelajaran secara tidak formal. Pembelajaran semestinya menggunakan pancaindera seperti pendengaran, penglihatan dan juga sentuhan deria-deria. Oleh yang demikian, pembelajaran sepanjang hayat merujuk kepada penimbaan ilmu sehingga ke akhir hayat.
            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013), pendidikan bermaksud perihal mendidik, ilmu, didikan, latihan dan juga ajaran. Manakala perkataan ‘sepanjang’ bermaksud segenap waktu, selama dan juga seluruh. Hayat pula bermaksud kehidupan ataupun hidup. Secara generalisasinya, pembelajaran merupakan proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan kepercayaan manusia dalam pendidikan. Proses pembelajaran ini berlaku di mana-mana tempat pada sebarang masa.

Menurut Knassel, Meed dan Rosetti (2000), kepentingan pembelajaran sepanjang hayat ini dapat dikenalpasti menerusi tiga sebab utama yang dikenali juga sebagai “The Three Es” iaitu pekerjaan, memberi kuasa dan keseronokan. Kemampuan seseorang menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran baru merupakan kunci utama bagi mendapatkan tawaran pekerjaan. Di dalam masyarakat workaholic seperti bangsa Jepun, kesedaran tentang kepentingan pembelajaran sepanjang hayat ini mencetuskan satu keadaan yang dikenali sebagai "employability fever"  di mana ahli masyarakatnya bersikap tekad untuk memiliki kelulusan atau kemahiran tertentu bagi menjamin mereka memperolehi peluang pekerjaan di dalam bidang yang mereka minati.
Guru berkualiti merupakan nadi utama kepada kejayaan pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara yang mempunyai kaitan secara langsung dengan keberhasilan murid. Bagi memastikan para guru kekal relevan dan efektif dalam era globalisasi yang semakin mencabar kini, para guru hendaklah menyempurnakan diri dengan dengan ciri-ciri pendidik profesional abad ke-21. Rajah 2 menunjukkan tujuan pemantapan pembangunan profesional  berterusan.


Rajah 2.2 : Tujuan pemantapan pembangunan profesional berterusan
Oleh yang demikian, pihak kerajaan Malaysia telahpun merancang pelbagai tindakan bagi memastikan pembangunan profesional berterusan sebagai salah satu cabang pembelajaran sepanjang hayat dimantapkan. Kementerian Pendidikan Malaysia telahpun merangka Model Pembangunan Profesional Berterusan. Model ini menggariskan tiga standard utama iaitu amalan nilai profesional, pengetahuan dan kemahiran yang perlu dikuasai guru bagi membolehkan mereka memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai pelaksana, penggerak, pembimbing dan mentor, peneraju perubahan, pemikir strategik dan pemikir holistik. Rajah 2.1 menunjukkan  tiga pendekatan pembelajaran sepanjang hayat untuk pembangunan profesionalisme keguruan akan digunakan.


Rajah 2.3 : Tiga pendekatan pembelajaran sepanjang hayat untuk pembangunan profesionalisme keguruan akan digunakan.




Para guru memainkan peranan yang penting bagi memastikan ketiga-tiga pendekatan pembelajaran sepanjang hayat untuk profesionalisme keguruan diamalkan dalam kehidupan para guru. Para guru hendaklah menjadi sebagai seorang penyiasat yang aktif dalam menegakkan semula budaya penyelidik, menjadi pemikir yang kritikal. Oleh yang demikian budaya pemikiran yang reflektif, bersikap terarah kendiri dengan rutin budaya membaca serta menjadi pembicara yang berkesan. Hal ini dapat memantapkan lagi budaya kolaboratif. Rajah 2.2 menunjukkan peranan-peranan guru untuk membudayakan pembelajran sepanjang hayat.



Rajah 2.4 : Peranan-peranan guru untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat
            Peranan guru merupakan perkara yang paling penting bagi memastikan budaya pembelajaran sepanjang hayat dapat dilaksanakan oleh murid-murid mahupun para guru sendiri.  Oleh yang demikian, bagi merealisasikan lagi budaya pembelajaran sepanjang hayat, wajarlah sekiranya setiap pihak memberi peranan yang lebih efektif terutamanya pihak ibu dan bapa yang mempunyai anak-anak untuk diberikan pendidikan.  





5.0)      KEPENTINGAN PERMUAFAKATAN KOMUNITI DALAM PENDIDIKAN
Pelbagai kepentingan boleh dicapai jika permuafakatan antara komuniti dapat dijaga sebaik yang mungkin. Bagi membantu pihak sekolah dalam usaha ke arah kejayaan murid, permuafakatan sekolah dan komuniti sangat penting untuk dijaga kerana dengan permuafakatan inilah matlamat pendidikan dapat diterajui dengan lebih mudah dan pantas. Kepentingan permuafakatan yang dicapai oleh para guru bukan sahaja membawa kebaikan kepada golongan pendidik, malah kepentingan ini merupakan satu manfaat yang dikongsi bersama dengan komuniti dan juga pihak sekolah. Rajah 3 menunjukkan antara kepentingan hubungan permuafakatan sekolah dan komuniti.


Rajah 3.0 : Kepentingan hubungan permuafakatan sekolah dan komuniti


5.1)      KEPENTINGAN PERMUAFAKATAN KOMUNITI DALAM PENDIDIKAN : MENCAPAI MATLAMAT PENDIDIKAN
Mengikut pandangan Poston (1992), “Sekolah yang cemerlang tidak dibina bersendirian. Sekolah memerlukan komuniti dan komuniti memerlukan sekolah”. Kenyataan ini bermaksud bahawa kepentingan hubungan sekolah dan komuniti adalah secara timbal balik.  Hal ini menunjukkan bahawa kepentingan hubungan permuafakatan yang erat antara sekolah dengan komuniti itu sangat penting. Komuniti tidak akan berjaya untuk melahirkan anak-anak yang berjaya dalam kehidupan sekiranya sekolah tidak memberikan komitmen yang secukupnya. Persefahamann dan penyuburan muafakat antara sekolah dan ibu bapa semestinya akan dapat mencipta kecemerlangan pendidikan yang memuaskan hati setiap pihak. Oleh yang demikian eloklah sekiranya setiap pihak komuniti sama ada ibu bapa, guru mahupun masyarakat hendaklah berganding bahu memberikan kerjasama untuk memajukan pendidikan.

5.2)      KEPENTINGAN PERMUAFAKATAN KOMUNITI DALAM PENDIDIKAN : MEMBANTU KANAK-KANAK BELAJAR DENGAN LEBIH BAIK
“Garis dasar bagi mana-mana program hubungan di sekolah dan komuniti adalah bagi membantu kanak-kanak untuk belajar dengan lebih baik, mereka akan belajar sekiranya ibu bapa mereka turut terlibat”, jika merujuk pendapat Gallagher, Bagin dan Moore (2005). Hal ini membawa maksud bahawa sebagai masyarakat tidak kiralah ibu bapa mahupun guru hendaklah memastikan agar kita menyokonng mereka untuk belajar dengan cara berada di tempat mereka bagi menarik minat mereka untuk belajar. Dengan itu, rogram hubungan sekolah dan komuniti perlulah menekankan konsep perkongsian antara sekolah dengan ibu bapa. Murid yang mempunyai perasaan jaminan komuniti lebih  berkecenderungan bermotivasi dari segi akademik, bertindak secara beretika serta mempunyai kecekapan sosial dan emosi. Oleh yang demikian, wajarlah sekiranya setiap pihak menyokong kanak-kanak serta memberi mereka dorongan supaya mereka bersemangat untuk belajar dengan lebih baik.

5.3)      KEPENTINGAN PERMUAFAKATAN KOMUNITI DALAM PENDIDIKAN : MENAMBAH BAIK KEMUDAHAN PENDIDIKAN
Darsawarsa kini setiap pihak mengetahui bahawa kemudahan teknologi dan maklumat amat diperlukan bagi merealisasikan pembelajaran abad ke-21. Sebarang jenis sumbangan mahupun sokongan kewangan daripada masyarakat khususnya sangat penting bagi memastikan kemudahan pendidikan dapat ditambah baik seperti kemudahan prasarana, bahan bantu mengajar, kemudahan teknologi serta komputer dapat digunakan dengan sebaik yang mungkin. Kemudahan-kemudahan ini adalah untuk memastikan agar para pelajar mempunyai tahap keselesaan yang tinggi agar setiap ilmu yang dipelajari mudah untuk diingati.

5.4)      KEPENTINGAN PERMUAFAKATAN KOMUNITI DALAM PENDIDIKAN : MENANGANI MASALAH DISIPLIN  MURID
Masalah disiplin bukannya masalah yang jarang-jarang ada di sekolah-sekolah. Masalah disiplin murid ini semstinya berada di setiap sekolah yang wujud di Malaysia ini. Masalah seperti ini semestinya perlu dibendung supaya masalah tidak menjadi besar. Demi menjaga kepentingan semua orang, pihak sekolah semsetinya perlu menyelaraskan undang-undang dan peraturan serta melaksanakannya dengan lebih teratur. Gejala sosial yang melibatkan murid juga dapat diatasi dengan adanya pemantauan oleh ibu bapa. Hal ini kerana ibu bapa paling memberi peranan terutamanya dalam membentuk disiplin pelajar itu sendiri.

5.5)      KEPENTINGAN PERMUAFAKATAN KOMUNITI DALAM PENDIDIKAN : MEMBANTU MEREKA YANG KURANG BERNASIB BAIK
Bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik, sewajarnya organisasi-organisasi yang wujud tidak kira kerajaan mahupun swasta membantu murid-murid yang kurang bernasib baik ini. Bukan itu sahaja, masalah ini memerlukan bantuan daripada para ibu bapa dan komuniti dalam menangani masalah ini. Dengan adanya bantuan seperti ini semestinya mereka yang kurang bernasib baik mampu untuk melalui kehidupan dengan mudah walaupun sedikit sahaja bantuan yang diberikan. Hal ini akan megurangkan kadar keciciran dalam pendidikan serta dapat meningkatkan peluang untuk murid menceburi pelbagai bidang sama seperti murid-murid berkemampuan yang lain. Benarlah bahawa sekiranya mereka yang kurang bernasib baik ini mendapat bantuan daripada komuniti, mereka semestinya mampu menerajui pendidikan sama seperti mereka yang hidup dalam keadaan baik daripada segi harta mahupun fizikal.


5.6)      KEPENTINGAN PERMUAFAKATAN KOMUNITI DALAM PENDIDIKAN : MEWUJUDKAN TOLERANSI DAN PERPADUAN
Sudah semestinya apabila berbicara tentang kepentingan permuafakatan komuniti dalam pendidikan, semsetinya toleransi dan perpaduan menjadi alat utama dalam memastikan kepentingan permuafakatan dapat digapai dengan matlamat yang benar. Permuafakatan hanya akan berjaya dicapai apabila setiap ahli komuniti mempunyai rasa tanggungjawab dan amanah yang meninggi dalam memberikan komitmen dalam setiap gerak kerja. Berbekalkan komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh setiap anggota masyarakat tanpa mengira warna kulit, latar belakang mahupun agama secara tidak langsung mampu melahirkan suasana yang harmoni dan bersatu padu. Oleh yang demikian wajarlah sekiranya setiap pihak memberikan komitmen dalam setiap kerja agar sifat toleransi dan perpaduan dapat disemat dalam diri setiap komuniti pendidikan.


5.7)      KEPENTINGAN PERMUAFAKATAN KOMUNITI DALAM PENDIDIKAN : MENINGKATKAN PEMBANGUNAN PROFESIONALISME GURU
Prestasi sekolah-sekolah di Malaysia boleh ditingkatkan dengan cara mengeratkanb hubungan kerjasama antara sekolah dengan sekolah-sekolah lain. Perkongsian ilmu yang dilakukan antara sekolah dengan sekolah semestinya mampu meningkatkan pencapaian para pelajar justeru dapat berkongsi kemahiran dengan guru-guru pakar. Hal ini boleh meningkatkan lagi pembangunan profesionalisme para guru disamping dapat memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah dan kemahiran lain. Selain itu, para guru juga boleh membuahkan idea kepada sekolah-sekolah lain agar kemahiran keguruan itu dapat disebar luas.



6.0)      CABARAN-CABARAN PROFESIONALISME PERGURUAN
Perkembangan dan cabaran dunia pendidikan yang dinamik masa kini menuntut guru membuat anjakan paradigma yang menyeluruh. Cabaran didefinisikan sebagai sesuatu yang menguji kekuatan, kemahiran dan kemampuan seseorang dalam sesuatu aktiviti. Pergolakan dalam bidang pendidikan memerlukan guru meneliti setiap aspek pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan perubahan yang dilakukan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap ahli masyarakat dalam sesebuah institusi pendidikan.



6.1)      CABARAN DALAM PROFESION KEGURUAN
Kompleksiti tugas dalam profesion keguruan sering disalahtafsir oleh ahli masyarakat yang beranggapan bahawa jadual tugas guru amat mudah dan guru hanya perlu bekerja setengah hari sahaja dan mempunyai cuti yang banyak. Pada hakikatnya, tugas guru adalah melangkaui waktu persekolahan. Di samping melaksanakan tanggungjawab mengajar murid, guru turut berperanan melaksanakan tugas berdasarkan arahan dan keperluan tugas yang lain.
Noriah (1994) menyatakan bahawa profesion keguruan merupakan profesion yang tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas. Bebanan kerja guru bukan sahaja mengajar tetapi juga melaksanakan kerja perkeranian dan pentadbiran, menjalankan aktiviti kokurikulum dan juga kerja-kerja Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) (Faridah dan Zubaidah, 1999). Selain daripada itu, guru juga turut menjalankan tugas tambahan seperti menjadi guru penasihat persatuan, jurulatih permainan dan sukan, mengendalikan rekod murid, memeriksa kerja murid, menyedia persediaan mengajar serta kertas soalan dan menanda kertas peperiksaan. Pelaksanaan tugas tambahan ini menuntut guru untuk datang ke sekolah selepas waktu persekolahan termasuklah pada hujung minggu dan semasa cuti persekolahan.



6.2)      CABARAN DARIPADA MURID
Norhayati Md Said (2007, Julai 29) dalam tulisannya “Kekurangan Guru Lelaki Amat Dirasai’ yang disiarkan di Berita Minggu, turut mengakui bahawa masalah disiplin ketika ini bukan boleh dibandingkan dengan zaman dulu. Masalah yang menghambat anak zaman sekarang terlalu berat, bermula daripada ponteng, menghisap rokok, samseng, pergaulan bebas lelaki dan wanita serta pelbagai masalah yang tidak terfikir akal boleh dilakukan anak zaman ini. Inilah cabaran hebat yang perlu ditanggung oleh guru.
            Cabaran yang hebat dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar boleh mematahkan semangat guru. Guru sering berada dalam keadaan dilema sama ada mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar atau membiarkannya sahaja. Guru menjadi serba salah kerana bimbangkan keselamatan diri. Kebimbangan guru ada rasionalnya. Guru bimbang sekiranya mereka mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang melanggar peraturan sekolah, mereka akan menghadapi risiko. Pelajar yang nakal ini berkemungkinan membalas dendam dengan cara mencederakan guru atau merosakkan harta benda guru seeprti mencalar kereta guru atau membocorkan tayar kereta guru. Pelajar-pelajar zaman ini berani mengambil tindakan terhadap guru-guru yang cuba mendisiplinkan mereka di sekolah. Buktinya,terdapat banyak kes pelajar melawan guru, mengugut guru, menumbuk guru, malah ada juga pelajar yang memukul guru walaupun hanya berumur 12 tahun. Satu kes pernah dilaporkan oleh akhbar Harian Metro berkaitan seorang murid darjah enam yang membelasah gurunya dengan penyodok sampah pada 18 April 2006 kerana tidak puas hati dengan hukuman guru terbabit terhadapnya berikutan tidak menyiapkan kerja sekolah. Dalam kejadian tersebut, murid itu dimarahi oleh guru dan disuruh menyiapkan kerja rumah sambil berdiri.



7.0)      KESIMPULAN
Profesion keguruan adalah merupakan satu profesion yang sangat mulia. Jasa dan sumbangan yang diberikan oleh warga pendidik untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, beriman dan mengamalkan nilai-nilai yang baik tidak harus dipandang rendah oleh masyarakat. Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan hari ini menuntut perubahan perspektif masyarakat terhadap profesion keguruan.
Profesion keguruan tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh diceburi oleh sesiapa sahaja. Hanya mereka yang mempunyai kualiti, keterampilan, kewibawaan, kelayakan, minat, iltizam dan berjiwa pendidik layak menjadi guru. Di samping menuntut kesungguhan dan tanggungjawab guru dalam mengharungi cabaran di era globalisasi, pemantapan kebajikan dan kerjaya harus terus diberi penekanan oleh pihak kerajaan.
Pepatah Melayu menganalogikan guru sebagai lilin membakar diri bagi menerangi orang lain masih relevan dalam era globalisasi. Cabaran guru masa depan lebih hebat. Guru harus berfikiran global dengan mengadunkan aspek tempatan dengan kepelbagaian entiti dunia yang berlaku begitu pantas dengan pelbagai karenah yang harus dibendung secara lebih bijak dan berhati-hati.
Guru masa kini harus melihat kurikulum pendidikan secara dinamik. Guru harus bijak mentafsir kurikulum yang menjadi wahana penyampaian ilmunya. Bagi rakyat, kurikulum yang menjadi intipati kemajuan dan perpaduan ialah integrasi antara kaum. Usaha Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan profesion ini perlu dipandang tinggi. Tanpa guru siapalah kita hari.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FRASA DAN BINAAN FRASA

KATA BANTU ; ASPEK & RAGAM

KEPENTINGAN BERBUDI BAHASA DALAM MASYARAKAT MALAYSIA