PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU- Peranan Guru Menyediakan Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif

1.0     Pengenalan

Pendidikan dan pembinaan negara adalah berkait rapat antara satu sama lain. Tanpa pendidikan, proses pembinaan negara tidak akan tercapai. Sesebuah negara perlukan warganegara yang terdidik dalam semua aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Peranan guru dalam membina negara bangsa merujuk kepada melahirkan insan yang mempunyai jati diri beridentiti Malaysia. Identiti Malaysia boleh dirujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang boleh dimaksudkan sebagai guru bertanggungjawab melahirkan warga Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Oleh yang demikian, guru perlulah mempunyai pelbagai jenis kemahiran dan teknik pengajaran dan pembelajaran agar hasrat kerajaan menggapai kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan terlaksana justeru para murid mendapat pendidikan yang sepatutnya.

 

2.0     Peranan Guru dalam Menyediakan Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif

Pembelajaran murid yang selesa dan teratur sangat penting dalam memastikan persekitaran pembelajaran berlaku dengan lebih kondusif. Guru bukan hanya mengajar murid-murid sehingga berjaya mendapatkan gred yang terbaik sahaja, tetapi guru berperanan juga sebagai penyelaras, pembimbing  malahan sebagai ibu bapa setiap murid semasa berada dalam lingkungan sekolah. Pentaksiran yang dilakukan di dalam kelas juga merupakan elemen yang berperanan dalam menyediakan persekitaran pembelajaran murid yang kondusif. Menurut Jere Brophy, pengurusan bilik darjah yang berkesan ialah keupayaan guru untuk membentuk, memelihara dan memperbaharui bilik darjah bagi mewujudkan persekitaran yang efektif untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran pembelajaran yang kondusif merangkumi persekitaran fizikal, persekitaran psikososial dan juga peraturan dan rutin bilik darjah.

 

2.1     Persekitaran Fizikal

Persekitaran fizikal terbahagi kepada beberapa bahagian. Antara bahagian persekitaran fizikal iaitu sumber bahan pembelajaran, ruang atau sudut pembelajaran, ruang pada dinding, pencahayaan, pengudaraan dan perabot, kebersihan, susunan dan reka bentuk fizikal dalam bilik darjah dan juga susunan kerusi meja yang kondusif.

 

2.2     Persekitaran Psikososial

Ciri-ciri fizikal yang bagus iaitu suasana yang mesra dan selesa, bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal, perasaan murid diterima, sensitif dan peka kepada perbezaan individu, suasana yang meransang pembelajaran, mewujudkan komunikasi terbuka dan menggalakkan pembelajaran koperatif dan memberi peluang yang sama kepada semua murid. Oleh yang demikian, guru wajarlah mengambil inisiatif untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan seperti sentiasa mementingkan perbezaan individu agar murid-murid tidak berasa bosan mahupun rasa dipinggirkan.

 

2.3     Peraturan dan Rutin Bilik Darjah

Peraturan dan rutin bilik darjah bermaksud kenyataan yang memaklumkan tingkah laku yang boleh diterima di dalam bilik darjah. Peraturan juga dikenali sebagai bentuk peringatan dan autoriti kepada nilai manusia. Elemen penting yang perlu difokuskan oleh guru iaitu memastikan ayat peraturan yang dinyatakan ringkas dan jelas, peraturan yang dibentuk mesti bermakna dan dipersetujui oleh murid dalam bilik darjah, mengehadkan bilangan peraturan agar murid-murid tidak berasa keliru. Guru juga perlu memastikan peraturan yang dibuat perlulah adil dan bertujuan membantu proses pembelajaran. Misalnya, guru harus mengelakkan daripada menggunakan perkataan ‘jangan’ serta guru harus memastikan peraturan bilik darjah selaras dan tidak bercanggah dengan peraturan sekolah.

 

2.4     Pengurusan Sumber Maklumat Murid

Pengurusan sumber maklumat murid merupakan salah satu daripada keperluan murid dalam memastikan pembelajaran berjalan dengan lebih efektif dan kondusif. Pengurusan sumber maklumat murid merangkumi penyimpanan data peribadi murid seperti buku rekod guru kelas, buku laporan dan juga buku kedatangan murid. Bukan itu sahaja, pengurusan sumber maklumat murid juga berkait rapat dengan perkara yang berkaitan dengan hal ehwal murid. Misalnya, pihak sekolah atau guru meminta dan mengumpul maklumat berkaitan diri murid dengan cara mengisi borang maklumat murid seperti maklumat ibu bapa, tanggungan ibu bapa, maklumat murid dan juga maklumat bantuan yang diterima murid. Hal ini dilakukan bagi memudahkan kerja guru mengetahui serba sedikit latar belakang murid agar pembelajaran dapat berlaku dengan lebih berkesan memandangkan guru mengetahui keperluan khas yang boleh diketengahkan terhadap murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku.

3.0     Kepentingan Membina Hubungan yang Positif dalam Bilik Darjah

Hubungan yang positif antara guru dan murid di dalam bilik darjah sangat penting dalam memastikan pembelajaran berlaku tanpa sebarang masalah dalaman seperti pergaduhan antara guru dan murid akibat salah faham antara kedua-dua belah pihak. Hubungan ini dikenali sebagai hubungan guru-murid. Hubungan ini memerlukan usaha daripada kedua-dua belah pihak walaupun dalam jangka masa yang lama. Menurut Good and Brophy (2002), guru yang dihormati dan mesra murid dapat bekerjasama dengan murid-muridnya dalam menjayakan aktiviti di dalam bilik darjah. Hal ini menunjukkan bahawa aktiviti tersebut memberikan kesan yang positif ke atas pencapaian akademik murid dan konsep kendiri murid dan guru. Oleh yang demikian, setiap guru perlulah mempunyai komunikasi yang berkesan antara guru-murid supaya kedua-dua pihak dapat mencapai objektif Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada sesi tersebut. Kepentingan membina hubungan yang positif guru-murid ini boleh dibahagikan kepada dua secara umumnya. Dua bahagian tersebut ialah kepentingan buat guru dan juga kepentingan buat murid.

     Kepentingan membina hubungan guru-murid kepada guru iaitu dapat menaikkan motivasi dan semangat guru semasa sesi PdP dijalankan. Guru juga akan lebih mudah untuk mengawal perlakuan murid terutamanya semasa sesi PdP berlangsung agar objektif yang terdapat di dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH) guru dapat dilaksanakan dengan mudah. Bukan itu sahaja, pembinaan hubungan guru-murid yang baik mampu menaikkan imej guru di sekolah tersebut. Oleh yang demikian, guru hendaklah sentiasa mewujudkan suasana demokratik dalam bilik darjah agar guru tidak dilihat sebagai “pilih kasih” oleh murid-murid. Guru juga mestilah memahami masalah yang dihadapi oleh setiap murid yang terdapat di  dalam bilik darjah.

     Hubungan guru-murid yang baik juga bakal memberikan impak baik yang besar kepada murid juga. Misalnya, hubungan guru-murid yang bagus mampu menarik minat para murid untuk mempelajari subjek yang diajar. Murid-murid juga akan mudah untuk memberikan kerjasama kepada guru justeru dapat meningkatkan pencapaian akademik murid kerana pembelajaran berjalan dengan lebih berkesan. Oleh yang demikian, guru hendaklah mendekatkan strategi-strategi yang berkesan bagi menarik minat murid memahami subjek yang diajar. Misalnya, guru mengingati nama murid dan kerap memanggil nama setiap murid. Guru juga perlulah sentiasa mengagihkan tugas bersama agar setiap murid dapat bekerjasama tanpa disuruh kelak. Guru yang bijak akan menyelitkan unsur kecindan dalam komunikasi serta sentiasa menunjukkan keprihatinan dan semangat cintakan kelas dalam diri murid. Guru juga hendaklah mengaplikasikan teknik-teknik yang sesuai melalui pendekatan model-model pengurusan disiplin bilik darjah seperti Model Pengurusan Kelompok Kounin, Model Disiplin Asertif Canter, Model Akibat Logikal Dreikurs, Model Pengurusan Bilik Darjah Thomas Gordon dan juga Model Beyond Discipline Alfie Kohn. Rajah 3.0 (a) menunjukkan kepentingan membina hubungan guru-murid.

Rajah 3.0 (a)  Kepentingan Membina Hubungan Guru-Murid

 

4.0     Model Pengurusan Disiplin Bilik Darjah dan Teknik : Model Kounin

Pelbagai model boleh digunakan untuk mengawal tingkah laku murid mengikut keadaan yang sesuai. Bagi tugasan ini, saya memilih Model Kounin sebagai model yang sesuai digunakan bagi mengurus keadaan kelas semasa sesi PdP. Model pengurusan kelompok yang diperkenalkan oleh Jacob Kounin memberi peluang kepada murid untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti seperti hands-on. Persekitaran bilik darjah menjadi lebih efektif dan kondusif kerana murid lebih menumpukan perhatian terhadap aktiviti berpusatkan murid. Merujuk Jacob Kounin dalam Choong (2009), terdapat lima teknik pengurusan bilik darjah yang boleh diaplikasikan oleh guru bagi mengawal disiplin para murid. Rajah 4.0 (a) menunjukkan lima teknik pengurusan bilik darjah model Kounin.

     Jacob Kounin mengesyorkan lima teknik pengurusan bilik darjah yang boleh diaplikasikan oleh guru bagi mengawal disiplin murid. Teknik yang pertama iaitu merangkumi semua (Withitness) yang merujuk kepada kepekaan guru untuk bertindak mengikut keadaan yang sesuai. Guru perlu bijak menjangka masalah yang bakal timbul daripada murid-murid serta guru pandai menghalang masalah tersebut daripada menjadi lebih serius. Misalnya, guru yang berhadapan dengan murid yang sentiasa bising di dalam kelas, guru perlu tahu cara yang sesuai untuk mengurangkan kadar kebisingan yang dilakukan oleh murid tersebut. Oleh yang demikian, guru perlu sentiasa mengawal keadaan kelas dengan lebih peka agar tingkah laku pelajar sentiasa berada dalam kawalan.

        

Rajah 4.0 (a) Lima Teknik Pengurusan Bilik Darjah Model Kounin    

     Teknik pengurusan bilik darjah mengikut Model Kounin yang seterusnya iaitu teknik pertindanan (Overlapping). Menurut pendapat Choong (2009), pertindanan merujuk kepada  keupayaan guru menangani lebih daripada satu situasi secara serentak. Perkara ini membawa maksud bahawa bilik darjah akan menjadi lebih terkawal sekiranya guru pandai meneruskan pengajaran sambil mengawasi pergerakan murid-murid secara serentak. Misalnya guru berupaya untuk menyemak buku latihan murid sambil mengawasi murid yang berada di barisan belakang sekali. Oleh yang demikian guru mampu mengawal kelas dengan lebih berkesan.

     Teknik momentum merupakan teknik pengurusan bilik darjah mengikut Model Kounin yang seterusnya. Teknik momentum ini merujuk kepada kebolehan guru untuk meneruskan pengajaran dengan cekap dan lancar untuk melakukan peralihan aktiviti. Misalnya apabila guru hendak melakukan peralihan aktiviti mengikut rancangan pengajaran harian yang telah dirangka, guru akan bersifat tegas, jelas dan serius dalam memberikan arahan. Hal ini akan menghasilkan ripple effect atau pun dikenali sebagai kesan gelombang kepada murid-murid. Sekiranya seorang murid ditegur oleh guru dengan tegas, ia akan memberi kesan terhadap muriid-murid yang lain untuk terus menuruti perintah guru. Perkara ini menunjukkan bahawa pengajaran guru lebih berkesan serta pembelajaran murid berjalan dengan lancar.

     Kelancaran (Smoothness) juga merupakan salah satu daripada lima teknik pengurusan bilik darjah berpandukan Model Kounin. Teknik momentum merujuk kepada kebolehan guru untuk memastikan peralihan dua aktiviti dalam pembelajaran menjadi lebih licin. Menurut Haliza Hamzah dan Samuel J.N (2009), bagi memastikan kelancaran pelaksanaan aktiviti bilik darjah, guru hendaklah mengelakkan penerangan yang meleret, mengulangi perkara yang tidak perlu dan juga melakukan fragmentasi. Misalnya guru hendaklah sentiasa memastikan objektif pengajaran harian tercapai tanpa diselitkan unsur-unsur yang tidak perlu sehingga meleret-leret. Hal ini bakal memudahkan pemahaman murid terhadap sesi PdP yang disampaikan serta guru tidak perlu lagi mengulang topik yang sama kepada murid-murid.

     Teknik pengurusan bilik darjah Model Kounin yang seterusnya iaitu kepekaan kelompok (Group Focus). Teknik ini sangat diperlukan oleh guru bagi mengekalkan penglibatan aktif murid-murid selain mencetuskan minat mereka terhadap topik yang disampaikan oleh guru. Menurut Choong (2009), teknik kepekaan kelompok Model Kounin ini dapat dilakukan apabila guru berupaya untuk mengemukakan soalan yang boleh mencetuskan minat dan sifat ingin tahu murid atau dikenali sebagai inkuiri. Misalnya guru sentiasa bertanyakan soalan yang meransang pemikiran mereka dengan cara mengaitkan soalan tersebut dengan kehidupan sebenar mereka. Teknik seperti ini bakal mencetuskan banyak persoalan kepada murid-murid memandangkan mereka perlu menyelesaikan soalan tersebut berpandukan kehidupan sebenar mereka. Contohnya, guru bertanyakan tentang salasilah keluarga masing-masing dalam mata pelajaran bahasa Melayu bagi menjana idea murid-murid justeru dapat memperkenalkan jenis kata nama dalam pembelajaran.

 

5.0)     Penutup

     Secara konklusinya, setiap lima teknik pengurusan bilik darjah yang diperkenalkan oleh Jacob Kounin wajar diaplikasikan oleh guru bagi memastikan disiplin murid-murid dapat dikawal dengan lebih berkesan serta sesi PdP berjalan dengan lebih efektif dari semasa ke semasa. Guru haruslah mengawasi persekitaran setiap masa, memililih masa yang sesuai untuk membuat teguran, teguran dibuat dengan tegas, jelas dan serius. Guru janganlah melengah-lengahkan teguran serta teguran perlu dilakukan sebaik sahaja tingkah lakuyang salah itu sedangdilakukan oleh murid. Guru perlu mendapatkan perhatian sepenuhnya daripada murid sebelum memberi arahan dan membuat penerangan. Kemudian guru hendaklah melibatkan murid dengan aktif dalam setiap aktiviti yang berpusatkan murid. Guru hendaklah sentiasa memanggil murid untuk memberi maklum balas, membuat demonstrasi atau memberi penerangan agar murid-murid yang terdapat di dalam kelas sentiasa memberikan perhatian semasa sesi PdP dijalankan.

RUJUKAN

Buku

Choong Lean Keow. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Kuala Lumpur:

Kumpulan Budiman Sdn Bhd

Good, T. L., & Brophy, J. E. (2000). Looking in Classrooms (8th éd.). New York: Longman.

Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel. (2014). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah

Laku (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn Bhd

Mok Soon Sang. (2000). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn.

Bhd

 

Internet

Taeachers to be, Pendidikan Awal Kanak-anak, 2018 (Diakses pada 19 Julai 2019)

            http://groupofearlyeducationchildhood.blogspot.com/2018/11/model-pengurusan-

kelompok-kounin.html

Nur Aliaa Mohd Ahwan, Hubungan Guru Murid, 27 Jun 2014 (Diakses pada 19 Julai 2019)

            https://www.slideshare.net/NurAliaaMohdAhwan/hubungan-guru-murid-36384276

Cikgu Syam, Kepentingan Membina Hubungan Guru dan Murid, 17 Mei 2010 (Diakses pada

            Pada 19 Julai 2019), http://cikgusyamsp.blogspot.com/2010/05/kepentingan-

membina-hubungan-guru-dan.html


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FRASA DAN BINAAN FRASA

KATA BANTU ; ASPEK & RAGAM

KEPENTINGAN BERBUDI BAHASA DALAM MASYARAKAT MALAYSIA